Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sinner kembali beraksi, catat permulaan cemerlang di Vienna

    VIENNA, 23 OKT – Jannik Sinner berjaya menewaskan Daniel Altmaier dalam kejohanan pusingan pertama di Vienna kelmarin, ketika dia kembali beraksi buat kali pertama sejak terpaksa menarik diri daripada Shanghai Masters akibat kecederaan.

    Pemain nombor dua dunia itu mencatatkan kemenangan terpantasnya tahun ini selepas menewaskan pemain Jerman 6-0, 6-2 dalam masa hanya 58 minit.

    Sinner akan berdepan rakan senegara, Flavio Cobolli, pada pusingan 16 terbaik hari ini dalam usahanya memburu gelaran keempat musim ini.

    Juara empat kali Grand Slam itu terpaksa menarik diri akibat kekejangan otot pada awal bulan ini, ketika menentang Tallon Griekspoor di pusingan ketiga kejohanan di Shanghai.

    Namun, dia berjaya menewaskan Carlos Alcaraz, Novak Djokovic dan Stefanos Tsitsipas dalam kejohanan persahabatan di Arab Saudi minggu lalu, dan sekali lagi mempamerkan prestasi cemerlang di bandar Austria itu.

    Sinner tidak berdepan sebarang mata penamat dalam perlawanan tersebut dan hanya kehilangan enam mata pada set pertama ketika menundukkan Altmaier, pemain yang kini menduduki ranking ke-51 dunia.

    “Saya rasa pada set pertama segalanya berjalan dengan amat lancar,” kata Sinner.

    “Saya sangat gembira dengan persembahan kelmarin, permulaan kejohanan yang amat positif, bukan sahaja dari segi permainan tetapi juga dari segi perasaan,” ujarnya.

    Terdahulu, Daniil Medvedev meneruskan aksi mantapnya apabila menewaskan Nuno Borges 6-4, 6-7 (7/9), 6-2.

    Bekas pemain nombor satu dunia itu menamatkan penantian dua tahun untuk meraih gelaran ATP hujung minggu lalu di Almaty. – AFP

    Jannik Sinner semasa perlawanan akhir perseorangan lelaki Kejohanan Tenis Terbuka China di Beijing pada 1 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda