Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sinner mara ke suku akhir Wimbledon

    LONDON, 8 JULAI – Jannik Sinner mara ke suku akhir Wimbledon kelmarin selepas lawannya, Grigor Dimitrov, terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika sedang mendominasi perlawanan, manakala Novak Djokovic pula terselamat daripada kejutan.

    Pemain nombor satu dunia, Sinner, dan juara tujuh kali, Djokovic, masih berada di landasan untuk bertemu dalam pertembungan separuh akhir yang dijangka sengit, namun perlawanan utama di Centre Court dicemari detik duka apabila Dimitrov terpaksa mengundurkan diri.

    Pemain Itali itu hampir tersingkir apabila ketinggalan 3-6, 5-7, 2-2, sebelum Dimitrov yang merupakan pilihan ke-19 dari Bulgaria, mengalami kecederaan otot dada kanan dan tidak dapat meneruskan perlawanan.

    Sinner segera berlari menuju Dimitrov bagi memberikan bantuan, tetapi pemain berusia 34 tahun itu hanya mampu melambai lemah kepada penonton yang memberikan tepukan penghargaan.

    “Sejujurnya saya tidak tahu mahu cakap apa,” kata Sinner. “Dia seorang pemain yang luar biasa, saya rasa kita semua menyaksikannya hari ini.

    Jannik Sinner membantu Grigor Dimitrov yang tercedera dalam perlawanan tersebut. – AP

    “Dia sangat malang dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Seorang pemain hebat dan juga rakan baik saya. Kami sangat memahami antara satu sama lain di luar gelanggang.

    “Melihat dia dalam keadaan begini, terus terang, jika dia masih ada peluang untuk bermain di pusingan seterusnya, dia memang layak.”

    Dimitrov, yang kerap dihantui kecederaan, kini telah terpaksa menarik diri dalam lima penampilan Grand Slam terakhirnya.

    Sinner sendiri mengalami insiden terjatuh dengan agak teruk dalam permainan pertama perlawanan pusingan keempat itu, dan kelihatan menanggung kesakitan di bahagian siku kanan.

    Juara tiga kali Grand Slam itu mempamerkan prestasi meyakinkan dalam tiga pusingan awal di All England Club, hanya tewas 17 permainan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda