SHANGHAI, 9 OKT – Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner akan berdepan Daniil Medvedev di suku akhir Shanghai Masters selepas kedua-duanya mencatatkan kemenangan straight set, hari ini.
Sinner menyingkirkan pemain Amerika Syarikat (AS), Ben Shelton dengan keputusan 6-4, 7-6 (7/1), sekali gus menebus kekalahan tahun lalu apabila Shelton menewaskannya di peringkat sama. Pemain Itali itu menunjukkan keyakinan dari awal perlawanan, berjaya memenangi perlawanan dalam tempoh 88 minit. Juara Terbuka AS ini mendahului pada permainan kesembilan set pertama apabila Shelton melakukan kesilapan, dan kemudian mendominasi tie break set kedua.
“Perlawanan ini sangat mencabar kerana saya tidak mempunyai banyak kawalan ketika menentangnya. Saya hanya cuba kekal kuat dari segi mental,” kata Sinner selepas perlawanan.
Dalam pertemuan lain, pemain nombor lima dunia, Daniil Medvedev, menewaskan Stefanos Tsitsipas dari Greece 7-6 (7/3), 6-3 dalam pertemuan ke-14 mereka. Walaupun Tsitsipas memulakan set kedua dengan baik, Medvedev berjaya bangkit dengan memecahkan servis lawannya dalam permainan keempat dan kelapan untuk mara ke suku akhir.
Sinner dan Medvedev telah bertemu empat kali tahun ini di peringkat akhir pelbagai kejohanan, termasuk kemenangan Sinner di Miami, suku akhir Terbuka AS dan final Terbuka Australia.
Namun, Medvedev berjaya menamatkan harapan Sinner di Wimbledon dalam perlawanan lima set yang mendebarkan. – AFP