Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sinner mudah atasi Medvedev

    TURIN, 15 NOV – Jannik Sinner menamatkan saingan peringkat kumpulan yang sempurna di Final ATP dengan kemenangan 6-3, 6-4 ke atas Daniil Medvedev kelmarin, sekali gus menyingkirkan lawannya dari Rusia itu.

    Pemain nombor satu dunia, Sinner telah pun layak ke separuh akhir hasil kemenangan Alex De Minaur dalam set pembukaan semasa kekalahannya kepada Taylor Fritz pada awal hari itu.

    Sinner hanya memerlukan satu set untuk memastikan kedudukan teratas dalam Kumpulan Ilie Nastase dan menghalang Medvedev daripada mara ke peringkat empat terakhir dalam kejohanan penutup musim di Turin.

    Sinner tidak mahu mengecewakan penyokong setia di tanah airnya dan mempersembahkan satu lagi aksi cemerlang untuk mara ke separuh akhir dengan rekod sempurna tiga kemenangan daripada tiga perlawanan.

    “Saya mempunyai sebab untuk tersenyum, ia adalah perlawanan yang baik dan suasana yang hebat seperti biasa,” kata Sinner yang gembira.

    “Ia adalah perlawanan yang sukar, Daniil dan saya saling mengenali dengan baik, jadi saya tahu bahawa saya perlu membuat keputusan yang tepat dari segi taktikal. Mari kita lihat siapa lawan saya di separuh akhir, saya gembira dapat mara ke sana.”

    Medvedev sepatutnya boleh mara dengan kemenangan straight set, namun pemain nombor empat dunia itu kini hanya memenangi satu daripada sembilan perlawanan terakhirnya menentang Sinner dan jelas sekali ketinggalan di utara Itali.

    Selepas menamatkan musim tanpa sebarang gelaran, dia memberitahu wartawan bahawa dia menilai musimnya sebagai “sifar daripada 10” apabila melihat “di mana saya meletakkan sasaran saya dan di mana saya berakhir.”

    “Saya mahu menjadi pemain nombor satu dunia, tetapi saya tidak bermain dengan cukup baik tahun ini, setakat ini,” kata Medvedev. – AFP

    Aksi Sinner semasa perlawanan kejohanan tenis Final ATP di Turin pada 14 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda