ROM, 1 MEI – Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, menegaskan dia tidak menerima layanan istimewa daripada pihak berkuasa anti-doping ketika menghadapi penggantungan tiga bulan yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan pemain tenis lelaki.
Sinner, yang dijadual beraksi semula pada Terbuka Itali minggu depan, kekal berdepan kesangsian selepas dua ujian dopingnya pada Mac tahun lalu menunjukkan kesan bahan terlarang clostebol – sejenis steroid anabolik ringan yang dilarang oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).
Namun, kedua-dua International Tennis Integrity Agency (ITIA) dan WADA memutuskan bahawa Sinner tidak memperoleh kelebihan kompetitif dan tidak bersalah kerana pencemaran yang tidak disengajakan.
“Saya dikritik kononnya mendapat layanan berbeza, tetapi itu tidak benar,” katanya kepada penyiar awam Itali, RAI.
“Saya melalui banyak perbicaraan dan saya mungkin diuji lebih kerap daripada pemain lain.
“Saya tidak mahu balas kritikan, orang bebas untuk menilai. Yang penting, saya tahu apa yang saya lalui, ia sukar dan saya tidak mahu sesiapa pun melaluinya sebagai orang yang tidak bersalah.”
Menurut Sinner, bahan itu memasuki sistem badannya melalui semburan rawatan luka yang digunakan oleh ahli fisioterapi sebelum sesi urutan dan terapi sukan.
Dia pada awalnya berisiko digantung dua tahun, namun bersetuju dengan larangan selama tiga bulan selepas WADA merayu keputusan asal ITIA ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Walaupun WADA mengakui Sinner ‘tidak berniat menipu’, keputusan tersebut menimbulkan kemarahan dalam kalangan pemain lain, termasuk rakan senegaranya yang juga juara Olimpik renang, Federica Pellegrini, yang menyuarakan rasa tidak puas hati secara terbuka. – AFP
