Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sinner pertahan gelaran Terbuka AS

    NEW YORK, 31 OGOS – Jannik Sinner meneruskan misi mempertahankan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) kelmarin, sementara Iga Swiatek bergelut ke pusingan 16 terbaik dan bintang tuan rumah Coco Gauff menempah pertembungan utama dengan Naomi Osaka.

    Sinner bangkit selepas tewas set pertama untuk menundukkan pilihan ke-27 dari Kanada, Denis Shapovalov, 5-7, 6-4, 6-3, 6-3. Pemain nombor satu dunia itu kini dalam usaha menjadi lelaki pertama mempertahankan gelaran di New York sejak Roger Federer pada 2008.

    “Saya melalui detik yang sukar. Kedudukan nampak agak terancam, tetapi saya hanya cuba kekal kuat secara mental,” kata Sinner.

    Di pusingan seterusnya, Sinner bakal menentang Alexander Bublik selepas pemain Kazakhstan itu menyingkirkan pilihan ke-14 Amerika Syarikat, Tommy Paul, dalam pertarungan lima set yang berlangsung hingga lewat malam. “Minggu kedua berbeza sama sekali, ia semakin sukar,” tambah Sinner.

    Sementara itu, pilihan ketiga Alexander Zverev tersingkir paling awal di Terbuka AS sejak tujuh tahun apabila tewas kepada Felix Auger-Aliassime. Pemain Kanada itu menghasilkan 50 pukulan kemenangan dan bangkit daripada hampir ketinggalan dua set sebelum mengejutkan Zverev 4-6, 7-6 (9/7), 6-4, 6-4.

    “Saya tidak bermain dengan baik, malah keseluruhan kejohanan ini tidak bagus untuk saya,” kata Zverev, naib juara 2020. – AFP

    Jannik Sinner ketika beraksi dalam perlawanan Kejohanan Terbuka AS 2025 di Pusat Tenis Nasional USTA Billie Jean King, New York City pada 30 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda