Monday, October 14, 2024
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sinner rangkul gelaran Shanghai Masters

    SHANGHAI, 13 OKT – Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner menewaskan juara Grand Slam 24 kali, Novak Djokovic, 7-6 (7/4), 6-3 dalam perlawanan akhir Shanghai Masters hari ini, sekali gus meraih gelaran berprestij itu.

    Sinner mencatatkan kemenangan penting apabila mematah servis Djokovic pada pusingan keempat set kedua, sekali gus menamatkan perlawanan dalam masa 1 jam 37 minit dan menggagalkan usaha Djokovic meraih gelaran ke-100 sepanjang kerjayanya.

    “Beliau terlalu bagus hari ini, terlalu kuat dan pantas,” kata Djokovic selepas perlawanan.

    Sinner turut memuji lawannya sebagai ‘legenda’ yang terus bermain tenis luar biasa setiap tahun.

    Dalam nada berseloroh, Sinner turut menyebut kehebatan bekas pesaing Djokovic, Roger Federer, yang menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton. “Di mana-mana ada legenda. Saya hanya cuba untuk mengikut jejak langkah mereka,” katanya.

    Di hadapan penonton yang bersemangat, kedua-dua pemain mempamerkan aksi cemerlang dengan pertarungan sengit sepanjang set pertama tanpa mematahkan servis lawan masing-masing.

    Namun, dalam tiebreak, Sinner menguasai permainan awal dengan merampas servis Djokovic pada mata pertama dan mendahului 5-1.

    Djokovic cuba bangkit tetapi kesilapan semasa pukulan voli memberikan Sinner mata set pada kedudukan 6-3. Walaupun gagal pada percubaan pertama, Sinner menyempurnakan mata set dengan servisnya.

    Saat penentuan berlaku semasa pusingan keempat set kedua apabila Sinner mendahului perlawanan 40-15 ketika Djokovic melakukan servis. – AFP

    Aksi Sinner pada perlawanan akhir Shanghai Masters di Shanghai, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda