NEW YORK, 27 OGOS – Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, memulakan misi mempertahankan gelaran Terbuka AS dengan kemenangan meyakinkan kelmarin, manakala pemain pilihan utama kategori wanita, Iga Swiatek, turut melangkah ke pusingan kedua.
Bintang Itali itu menundukkan pemain nombor 89 dunia dari Czech, Vit Kopriva, 6-1, 6-1, 6-2, hanya dalam masa 1 jam 38 minit untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Ia satu perasaan hebat dapat kembali di sini. Jelas sekali, ini adalah kejohanan yang sangat istimewa,” kata Sinner, yang berhasrat menjadi lelaki pertama sejak Roger Federer (2004-2008) memenangi gelaran Terbuka AS berturut-turut.
Sinner, 24, akan berdepan Alexei Popyrin di pusingan ketiga.
“Saya sangat gembira kerana kembali sihat,” tambah Sinner, yang terpaksa menarik diri daripada final Terbuka Cincinnati minggu lalu menentang Carlos Alcaraz.

“Saya ada kenangan manis tahun lalu. Setiap tahun adalah berbeza. Saya datang ke sini untuk memulakan kejohanan ini dengan sebaik mungkin dan saya berjaya melakukannya,” ujarnya.
Permulaan bertenaga Sinner di gelanggang Stadium Arthur Ashe dipadankan oleh Swiatek dari Poland, yang turut menang mudah 6-1, 6-2 ke atas pemain Colombia, Emiliana Arango.
Pemain berusia 24 tahun itu mengawal perlawanan sepanjang masa, menundukkan Arango dengan pukulan bertenaga serta teknik halus di net.
Kemenangan itu menjadikan Swiatek wanita pertama dalam sejarah memenangi 65 perlawanan pusingan pertama berturut-turut di peringkat WTA, mengatasi rekod sebelumnya oleh Monica Seles (64 kemenangan). – AFP

