PARIS, 28 JAN – Pemain tenis nombor satu dunia, Jannik Sinner, tidak akan mempertahankan kejuaraan ATP 500 di Rotterdam kerana ‘pemain dari Itali itu memerlukan masa untuk berehat’ selepas memenangi Terbuka Australia, kata penganjur kejohanan, kelmarin.
Sinner, 23, menewaskan pemain Jerman, Alexander Zverev 6-3, 7-6 (7/4), 6-3 Ahad lalu untuk memenangi gelaran Grand Slam ketiganya, dengan meneruskan kejayaan tahun lalu di Melbourne dan kemenangan di Terbuka Amerika Syarikat (AS) September lalu.
“Selepas berbincang dengan pasukan, saya terpaksa mengambil keputusan sukar untuk menarik diri daripada Terbuka ABN AMRO,” kata Sinner dalam satu kenyataan di laman web kejohanan itu.
“Badan saya memerlukan masa untuk berehat selepas kejohanan jangka panjang di Australia. Saya mempunyai kenangan indah apabila memenangi gelaran di hadapan penonton yang hebat di Rotterdam Ahoy tahun lepas dan berharap dapat kembali ke sana,” tambahnya.
Pemain nombor 11 dunia dari Bulgaria, Grigor Dimitrov, juga akan terlepas menyertai Rotterdam selepas dia terpaksa menarik diri akibat kecederaan semasa Terbuka Australia.
Berikutan penarikan diri Sinner, gelanggang di Rotterdam akan diketuai pemain nombor tiga dunia, Carlos Alcaraz.
Manakala, antara rakan 10 pemain terbaik lainnya iaitu Daniil Medvedev, Alex de Minaur dan Andrey Rublev bersedia untuk menyertai Alcaraz dalam undian utama. – AFP