PARIS, 31 OKT – Jannik Sinner menundukkan Francisco Cerundolo 7-5, 6-1 di Paris Masters kelmarin untuk menempah pertembungan suku akhir menentang Ben Shelton, manakala juara bertahan Alexander Zverev meraih kemenangan tanpa kalah ke atas Alejandro Davidovich Fokina pada pusingan ketiga.
Kemenangan pertama di bandar Perancis itu akan mengembalikan Sinner ke kedudukan nombor satu dunia selepas juara semasa, Carlos Alcaraz, tersingkir awal secara mengejut di tangan pemain Britain, Cameron Norrie.
Juara Grand Slam empat kali dari Itali itu masih belum tewas satu set pun dalam kejohanan tersebut, ketika beliau menumpukan perhatian untuk meraih gelaran kelima musim ini.
“Hari ini saya rasa set pertama sangat penting. Francisco adalah pemain yang sangat berbakat dan sukar untuk dilawan kerana tahapnya sangat tinggi,” kata Sinner. “Dalam set kedua, saya menaikkan tahap permainan dan saya sangat gembira dapat mara ke suku akhir di sini buat kali pertama,” tambahnya.
Sinner memenangi set pertama yang sengit, yang menyaksikan empat break berturut-turut, apabila dia menafikan servis Cerundolo yang berada di ranking ke-21 pada kedudukan 6-5 untuk mengambil alih mengendalikan permainan.
Pemain berusia 24 tahun itu kemudian meningkatkan lagi permainan pada set kedua, mendahului 5-1 sebelum menghabiskan set tersebut untuk menempah pertemuan dengan pemain Amerika kelima, Shelton, pada suku akhir, hari ini.
Manakala, Shelton telah berjaya menewaskan Andrey Rublev dari Rusia 7-6 (8/6), 6-3 untuk mara ke lapan terakhir.
Kemenangan itu menandakan satu lagi detik penting bagi pemain berusia 23 tahun ini pada musim ini, selepas memenangi gelaran peringkat 1000 pertamanya di Toronto musim panas lalu, sekali gus memastikan penampilan sulungnya di Final ATP di Turin.
“Ia adalah hasil daripada setahun usaha, melalui banyak turun naik, keputusan hebat, keputusan kurang memuaskan dan keperluan untuk bangkit semula,” kata Shelton semasa ditanya mengenai pencapaiannya di acara penutup musim itu. – AFP


