Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sirah Rasulullah teladan agung

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Sirah Rasulullah SAW dijadikan teladan agung dalam membina keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah, melalui kasih sayang, kesabaran dan keadilan Baginda sebagai suami, ayah dan ketua keluarga. Keluarga Baginda menjadi contoh sempurna tempat perlindungan, sumber kekuatan dan pendo-rong kebaikan dalam menghadapi ujian hidup, selaras dengan nilai-nilai Islam yang syumul.

    Demikian antara intipati tazkirah bertajuk Sirah Rasulullah SAW: Teladan Agung Membina Keluarga Sakinah, Mawaddah wa Rahmah yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Seri Ramizah binti Matussin, bersiaran dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) sempena Malam Munajat Khas untuk Wanita ke-27, anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali ke-196.

    Acara malam tadi disertai oleh ahli-ahli Majlis Belia Brunei (MBB), ahli jawatankuasa takmir, para jemaah dari beberapa masjid seluruh negara, warga kerja wanita KHEU bersama keluarga serta peserta secara dalam talian. Majlis turut diserikan dengan kehadiran isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.

    Malam Munajat dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Timbalan Yang Di-Pertua Majlis Belia Brunei, Penerima Anugerah Belia Berkhidmat 2025, Dayang Nurul Izyan binti Anver. Seterusnya, bacaan Surah Al-Mulk secara beramai-ramai dipimpin oleh Ahli MBB, Bahagian Keagamaan dan Kerohanian, Dayangku Fatin Nur’Masayuni Safwana binti Pengiran Roslan, manakala Doa Munajat dibacakan oleh Exco Keagamaan dan Kerohanian, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dayang Nurul Shafiqah binti Abdullah.

    Selepas tazkirah, majlis diteruskan dengan Selawat Asyghil yang dipimpin oleh Urusetia Program Keugamaan Belia (SkiPPA), PDI, KHEU, Dayang Siti Zulaiha binti Awang Empudin, diikuti dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Exco Kesenian dan Kebudayaan Islam, KUPU SB, Dayang Siti Asyiqin binti Asmallee.

    Malam Munajat anjuran KHEU itu bertujuan mengajak orang ramai mendekatkan diri kepada Allah SWT, meningkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan melalui istighfar, membaca serta menghayati ayat-ayat suci Al-Quran dan merafakkan doa secara beramai-ramai.

    Antara yang menyertai Program Malam Munajat. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda