Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siri Penglibatan BEDB bantu lebih 170 usahawan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Dalam usaha berterusan untuk menyokong komuniti perniagaan tempatan, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) mengadakan Siri Penglibatan BEDB kedua dengan tajuk Memahami Peraturan Industri F&B yang berlangsung di Auditorium Utama, Bangunan Rekaan dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BEDB, di sini, acara itu dianjurkan oleh BEDB dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang menyokong pembangunan industri makanan dan minuman untuk menyediakan platform bagi pemilik perniagaan mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai landskap kawal selia serta bertanyakan soalan secara langsung kepada wakil agensi-agensi.

    Semasa sesi berkenaan, para peserta telah diberikan taklimat oleh Registry of Companies and Business Names Division (ROCBN), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Bahagian Perkhidmatan dan Agrimakanan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Authority on Building Control and Construction Industry (ABCi), Kementerian Pembangunan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Bahagian Daerah dan Bandaran, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Brunei Darussalam Food Authority (BDFA).

    Antara pengisian yang disampaikan dalam program berkenaan.
    Salah seorang peserta bertanyakan soalan dalam program berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN BEDB

    Acara sehari itu dibahagikan kepada dua segmen dengan sesi pagi menumpukan kepada perkhidmatan penting yang disediakan oleh agensi-agensi berkenaan. Ditambah dengan sesi perkongsian oleh pengasas Noaz Creation, Norhijjahwati binti Bair yang mengongsi pengalaman dan cabaran dalam membangunkan perniagaan di Kontena Park, sebuah inisiatif di bawah BEDB yang menyokong pengusaha makanan dan minuman.

    Sesi petang pula diteruskan dengan perkongsian daripada pengasas Dil’s Cafe, Shaikh Haji Fadilah bin Shaikh Haji Ahmad mengenai perjalanannya daripada perniagaan makanan dari rumah kepada sebuah perusahaan runcit.

    Selain itu, program turut merangkumi pembentangan topik-topik utama termasuk permohonan persijilan halal, peralihan daripada operasi rumah kepada komersial serta peraturan keselamatan api.

    Lebih daripada 170 orang pemilik perniagaan telah mengambil bahagian dalam sesi penglibatan berkenaan. Beberapa maklum balas menyatakan sesi penglibatan telah memberi maklumat yang praktikal dan jelas mengenai peraturan dan proses yang terlibat, mendedahkan cabaran sebenar yang dihadapi serta cara menyelesaikannya serta menerangkan proses dengan lebih mudah melalui sesi soal jawab yang diadakan.

    Siri Penglibatan BEDB akan diteruskan dengan lebih banyak sesi dirancang untuk pelbagai sektor dalam ekosistem perniagaan Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda