BRASILIA, 2 OGOS – Selepas 17 tahun bermain bersama kelab elit di Eropah, kapten Brazil Dani Alves telah memutuskan untuk pulang ke tanah air dan menandatangani perjanjian tiga tahun bersama Sao Paulo.
Sebagai ejen bebas selepas kontraknya dengan juara Perancis Paris Saint-Germain tamat pada Jun, Alves menjelaskan keputusannya dengan video Twitter yang dipaparkan di laman web kelab.
“Saya boleh memilih mana-mana pasukan tetapi saya memilih untuk kembali ke Brazil, ke negara dan kelab yang saya sayangi,” kata pemain berusia 36 tahun itu yang telah berada di Eropah sejak menandatangani kontrak bersama Sevilla pada 2002.
Pemain bek kanan itu bermain untuk Barcelona, Juventus dan PSG, menjulang sembilan gelaran liga kebangsaan sepanjang kariernya, di mana enam di Sepanyol, satu di Itali dan dua di Perancis.
Dia telah mengumpul 40 trofi bersama kelab dan negara termasuk tiga gelaran Liga Juara-Juara bersama Barcelona dan dua Piala UEFA bersama Sevilla.
Dia juga telah memenangi dua Copa America bersama Brazil dan terbaharu Julai lalu dan dinobatkan sebagai pemain kejohanan ketika mengetuai kemenangan ke atas Peru pada final di Stadium Maracana di Rio de Janeiro.
“Pernah saya memberitahu Daniel bahawa dia akan bermain di Sao Paulo, kelab yang sentiasa di hatinya. Hari ini saya gembira dan bangga dia mengotakan janji itu,” kata Presiden kelab Carlos Augusto de Barros e Silva dalam satu kenyataan. – AFP
