Sunday, November 3, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sisa buangan ancam kura-kura gergasi

    QUITO, 9 NOV – Kura-kura terancam Galapagos terus menelan plastik dan sisa manusia lain walaupun terdapat satu larangan ke atas barangan plastik pakai buang di kepulauan Ecuador, menurut satu kajian yang diterbitkan pada Rabu.

    Kura-kura spesies Chelonoidis porteri menelan plastik di dalam dan di sekitar pusat-pusat bandar di pulau Santa Cruz, menurut kajian oleh Yayasan Charles Darwin, yang didedikasikan untuk usaha pemuliharaan di Galapagos.

    Penyelidik menganalisis 5,500 sampel bahan najis di kawasan di mana kura-kura bersentuhan dengan aktiviti manusia, dan mendapati 597 keping serpihan asal manusia – kebanyakannya plastik, terdapat juga kaca, logam, kertas, kotak dan kain.

    Sebagai perbandingan, daripada 1,000 buah sampel yang dikumpulkan dari kawasan perlindungan di Taman Negara Galapagos, saintis mendapati hanya dua serpihan manusia.

    “Kura-kura gergasi boleh mengambil masa sehingga 28 hari untuk mencerna apa yang mereka telah makan,” kata Karina Ramon, pengarang utama kajian itu.

    “Oleh itu, kami bimbang tentang kesan pengambilan sisa bukan organik terhadap kesihatan mereka,” katanya, memetik risiko halangan usus, kecederaan dan perubahan hormon akibat komponen kimia. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda