TAINAN, TAIWAN – Membesar di pantai barat Taiwan di mana penternakan moluska adalah popular, Eddie Wang melihat kulit tiram yang dibuang berubah daripada sisa kepada sesuatu berguna – kenangan yang memberi inspirasi kepadanya untuk mencipta fabrik yang unik dan mesra alam digelar ‘Seawool’.
Wang masih lagi ingat penduduk di kampung halamannya di tepi pantai Yunlin menggunakan cangkerang tiram yang bersepah di jalanan semasa musim menuai dijadikan sebagai penebat untuk kediaman mereka.
“Mereka membakar cangkerang dan mengecat sisa-sisa di dinding. Rumah berkenaan kemudian menjadi hangat pada musim sejuk dan sejuk pada musim panas,” kata lelaki berusia 42 tahun itu kepada AFP di kilangnya di Tainan.
“Jadi saya ingin tahu mengapa cangkerang tiram mempunyai kesan yang sungguh menakjubkan sedemikian.”
Syarikat Tekstil Teknologi Kreatif milik Wang, yang ditubuhkan pada 2010, telah pun mengeluarkan ‘fabrik eko’ – bahan poliester yang diperbuat daripada botol plastik kitar semula – tetapi beliau merasakan teksturnya agak ‘biasa’.
Jadi dia mula bekerjasama dengan institut penyelidikan untuk percubaan membuat fabrik daripada sisa kulit tiram, dan pada 2013 merumuskan formula betul yang menghasilkan bahan yang serupa dengan bulu.
Hari ini, kilangnya di Taiwan menggunakan kira-kira 100 tan kulit tiram setahun untuk menghasilkan kira-kira 900 tan bulu Seawool, fabrik yang mempunyai tanda dagangan dan
dilindungi paten.
Fabrik dan pakaian berkenaan menjana pendapatan sekitar NT$200 juta (AS$6.1 juta) setahun, dengan sebahagian besar daripadanya diperoleh oleh jenama pakaian luar dan mampan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Fabrik buatan Taiwan itu tidak mungkin dihasilkan tanpa budaya penternakan tiram yang unik di pulau itu, kata Wang.
“Rantaian industri ini tidak boleh ditemui di tempat lain di luar negara,” katanya.
“Kami mempunyai orang untuk menuai tiram, kami mempunyai pakar untuk membersihkan cangkerang tiram, dan kami mempunyai orang untuk mengeringkan dan mengkalsin (merawat) kulit tiram.”
Pulau kecil Taiwan itu mempunyai permintaan yang tinggi untuk tiram, menuai kira-kira 200,000 tan setahun dengan isi yang boleh didapati dalam masakan-masakan tempatan seperti telur dadar rangup dan hidangan mi halus seperti sutera.
Namun popularitinya juga bermakna kira-kira 160,000 tan cangkerang dibuang setiap tahun, menurut data daripada Kementerian Pertanian.
Ia bertimbun di jalan-jalan bandar penternakan akua – majoriti di bandar barat seperti Yunlin, Changhua dan Chiayi – mencetuskan isu alam sekitar dengan mengeluarkan bau hanyir dan tempat pembiakan nyamuk.
Di kilang Wang, kulit-kulit tiram dikisar menjadi manik nano dan digabungkan dengan benang yang diperbuat daripada botol plastik kitar semula.
“Ia mencipta benang ajaib,“ katanya. “Cangkerang tiram adalah bahan dengan kekonduksian terma yang rendah – ia tidak menyerap haba dan tidak juga menghilangkan haba.”
Mengubah kulit tiram – yang menyerap dan menyimpan karbon dioksida daripada atmosfera – kepada Seawool juga tidak memerlukan air, menjadikannya ‘produk rendah karbon,’ kata Wang.
Perjalanan mengambil masa setengah jam dari bilik pamerannya di mana jaket, baju sejuk dan seluar pakaian aktif dipamerkan, perusahaan Taiwan Sugar Corporation (TSC) juga mempunyai sebuah kilang yang mengisar cangkerang buangan menjadi serbuk yang digunakan dalam pembuatan barangan rumah, seperti batang kemenyan.
Cangkerang yang dihancurkan membantu mengurangkan asap dan bahan kimia toksik yang dikeluarkan daripada pembakaran kemenyan, kata Chen Wei-jen, penolong ketua bahagian perniagaan bioteknologi TSC.
“Kami berharap kulit tiram boleh dijadikan pelbagai aplikasi perindustrian dan syarikat yang berminat boleh menggunakannya sebagai bahan mentah untuk menjadikan produk mereka lebih mesra alam selain menambah nilai kepada produk-produk mereka,” kata Chen.
Sebelum kulit tiram sampai ke kilang, para petani di Chiayi – sebuah daerah yang terkenal dengan pengeluaran tiram – mengumpul moluska pada waktu subuh dari rak yang didirikan di sepanjang pantai.
Ia diasingkan ke dalam bakul sebelum dihantar ke kilang-kilang seperti kilang Dai Sen-tai, di mana ia dicuci dengan mesin sebelum dihantar ke perniagaan-perniagaan kecil yang dikendalikan oleh keluarga yang mengeluarkan isinya dan menghantar cangkerang ke selatan.
Dai, yang keluarganya telah berkecimpung dalam industri penternakan tiram selama tiga generasi, berkata dia gembira kerana Taiwan memberi nafas baharu kepada sisa laut itu.
“Semasa saya kecil, tiada siapa yang mahukan kulit tiram – ia dibuang merata-rata,” katanya kepada AFP.
“Baguslah bahan buangan itu kini telah bertukar menjadi emas.” – AFP