Oleh Soon Li Wei
KUALA LUMPUR, 23 NOV – Di tengah-tengah hiruk pikuk hutan batu, terselit sebuah kebun komuniti lestari yang membekalkan sayur-sayuran dan buah-buahan segar kepada penduduk Taman Setapak Permai sejak dua tahun lalu.
“Selamat datang ke Kebun Lestari Setapak Permai. Inilah kebun komuniti lestari yang 70 peratus menggunakan sisa makanan di sekitar ibu kota,” kata seorang anak muda berbaju kelabu dan bertopi kebun, menyambut kedatangan penulis. Di tangannya memegang sebatang cangkul.
Usahawan muda yang juga pengasas 4Leaf Nursery, Yap Jing Zong, 25, berkata kebun tersebut yang diusahakan bersama-sama dengan komuniti setempat, pada asalnya tapak pelupusan sampah haram.

“Dahulunya di sini merupakan tapak terbiar dan ramai penduduk di sini menjadikannya tapak pelupusan sampah, tetapi setelah dibersihkan ia menjadi sebuah kebun yang membekalkan sayur-sayuran dan buah-buahan segar kepada penduduk setempat,” katanya.
Anak muda ini kemudian membawa penulis ke kawasan lapang yang dipenuhi serpihan kayu dan tanah lembab sebelum mencangkul tanah di situ dan menunjukkan sisa-sisa makanan berupa kulit buah-buahan yang ditanam.
Menurut Yap, rahsia tanaman yang sihat bukan sahaja terletak pada baja, air dan keadaan persekitaran, tetapi juga struktur tanah.
“Kalau kita menjaga tanah dengan baik, maka tanah itu akan membantu tanaman kita membesar dengan sihat dan segar,” katanya.
Bermula dengan hobi berkebun di rumahnya di Sungai Long, Kajang dan menghasilkan bahan kompos organik sendiri ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lima tahun lalu, Yap mula melihat potensi sisa makanan sebagai sumber rezeki.


Hasil tanaman kebun mininya seperti sayur-sayuran, buah-buahan serta tumbuhan herba sangat memberangsangkan walaupun hanya menggunakan kompos yang dihasilkan daripada sisa-sisa makanan di rumahnya.


Belajar sendiri daripada perkongsian orang ramai di YouTube serta trial and error, Yap berjaya menghasilkan kompos organik dalam masa tiga bulan yang kemudian dimanfaatkan untuk kebun mininya. Hasil yang dituai melimpah-ruah sehingga membolehkannya berkongsi dengan jiran tetangga.
Tambah anak muda ini lagi dia juga kerap melihat sisa makanan terbuang dan membusuk di dalam tong sampah kerana tidak ramai yang mahu mengasingkan sisa untuk dijadikan kompos.
“Selain renyah, sisa makanan juga busuk, jadi saya wujudkan misi mahu mengurangkan sisa makanan daripada dibuang di tapak pelupusan sampah dan kembali ‘menyelamatkannya’ menjadi makanan semula (sebagai baja tanaman),” kata Yap.
Masih bergelar penuntut di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology di Setapak, Yap memulakan misinya pada 2021 dengan mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dijadikan kebun dan juga tapak penghasilan kompos daripada sisa makanan di kawasan berdekatan universitinya.
Katanya kerja-kerja pengutipan sisa makanan dilakukan seawal pukul 3.30 pagi, menaiki basikal yang diubah suai.
“Saya dapatkan sisa makanan dari kediaman dan juga restoran hampir setiap hari. Ada pemilik restoran baik hati memberikan sisa makanan kepada saya secara percuma, namun ada yang mengambil kesempatan untuk mengenakan bayaran,” katanya.

Menjelang pukul 7 pagi dia akan kembali ke tapak itu dan memulakan kerja-kerja membuat kompos sebelum ke dewan kuliah pada pukul 9 pagi.
“Memang meletihkan sehinggakan ada masa saya terlelap di dalam kelas. Namun, di sebalik cabaran itu, saya berjaya menamatkan pengajian dengan kepujian tertinggi,” katanya yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan mekatronik.
“Ketika di universiti, tatkala rakan-rakan pergi bercuti ketika cuti semester ataupun ‘happy hour’ selepas kelas, saya memilih untuk menghabiskan masa saya bersama-sama dengan sisa-sisa makanan, kompos dan tanaman saya, selain melakukan pelbagai kerja-kerja sampingan untuk membiayai projek kebun saya,” katanya, menambah ketika itu dia sudah menanam azam untuk membina kerjaya dalam bidang pertanian khususnya penghasilan kompos.
Ujar Yap, di peringkat awal hasratnya ditentang oleh ahli keluarga kerana menganggap industri pembuatan kompos itu kotor.
“ Keluarga saya bimbang ramai orang tidak mahu mendekati saya kerana saya berbau busuk, terutamanya selepas mengutip sampah dan sisa-sisa makanan. Namun lama-kelamaan, setelah hasil titik peluh saya mula terserlah, barulah mereka menerima dan menyokong apa yang saya perjuangkan selama ini,” katanya.
Sedar kebanyakan orang tidak suka dengan bau busuk daripada pengkomposan, Yap berkata dia menemukan cara berkesan untuk menghilangkan bau tidak menyenangkan tersebut.
“Rahsianya adalah dengan menggunakan daun kering dan sisa-sisa kayu. Setiap lapisan sisa makanan diselang dengan satu lapisan daun kering dan kayu dengan kertas supaya ia dapat membantu mengimbangkan proses penguraian di dalam kompos, menghilangkan bau dan memastikan kompos itu mendapat pengudaraan baik,” jelasnya, menambah teknik pengkomposan itu boleh dilakukan di rumah.

“Jika nak buat di rumah, mulakan dengan sisa buah-buahan dan sayur-sayuran. Elakkan daripada menggunakan sisa makanan berminyak, daging dan tulang haiwan,” tambahnya.
Yap juga menggalakkan komuniti untuk tidak membersihkan kawasan yang penuh dengan semak samun, rumput ataupun daun kering kerana kesemua itu berfungsi sebagai penutup tanah, mengekalkan kelembapan tanah, melindungi mikrob daripada panas terik dan mencegah hakisan ketika hujan lebat.
“Daun yang gugur pula akan terurai menjadi bahan organik yang menyuburkan tanah. Di sini, kami bukan sahaja membekalkan hasil tanaman sayur-sayuran, buah-buahan segar serta baja kompos organik kepada penduduk setempat, tetapi juga sebagai tempat berkongsi ilmu berkebun secara lestari dan memanfaatkan alam sekeliling,” katanya.
Dia turut mengelakkan penggunaan bahan kimia, sebaliknya memilih racun perosak organik seperti cuka kayu yang menggalakkan kehadiran lebah dan proses pendebungaan.
“Selain itu, saya turut menjual baja kompos organik saya kepada masyarakat sekeliling dan kepada syarikat-syarikat korporat dengan harga berpatutan dari RM18 hinggalah ke RM300 secara pukal,” katanya.
Misi Yap pada masa sekarang adalah memberi kesedaran kepada lebih ramai ahli masyarakat setempat untuk menukarkan sampah dan sisa-sisa makanan kembali kepada bahan ternilai seperti mewujudkan kebun bandar sendiri bagi menjamin keselamatan makanan.
Katanya menerusi inisiatifnya mewujudkan Urban Recycling Ecosystems (UREs), iaitu pusat komuniti yang mengitar semula sisa kepada sesuatu yang bernilai, dia kini dapat berinteraksi secara lebih dekat dengan penduduk setempat dan berkongsi ilmu mewujudkan kebun sendiri di rumah secara organik.
Usaha gigih anak muda ini tidak sia-sia kerana dia kini sering dijemput sebagai penceramah TEDX di Jalan Petaling sejak tahun lepas bagi memberi kesedaran kepada anak-anak muda tentang perjalanannya membina kerjaya menerusi sisa makanan.
“Jangan takut untuk melakukan perubahan. Pada mulanya orang akan anggap apa yang kita lakukan sekarang adalah sesuatu yang amat menjijikkan, namun bila dibuktikan bahawa benda jijik itu pun boleh menjadi khazanah bernilai, maka pandangan mereka terhadap kita akan berubah.
“Tiada istilah jijik dalam kamus hidup saya. Sampah-sarap yang saya nampak di depan mata saya adalah ‘emas’ dan sumber rezeki,” katanya. – Bernama

