CHENGDU – Di sebuah restoran mewah di Chengdu, bandar warga China yang menyukai masakan hotpot, para pengunjung merendam daging dan sayur-sayuran yang dihiris ke dalam periuk berisi kuah pedas dan berminyak, tanpa menyedari bahawa sisa makanan mereka bakal mendapat kehidupan kedua sebagai bahan api pesawat.
Dengan kira-kira 150,000 tan minyak hotpot terpakai dibuang oleh restoran-restoran di bandar ini setiap tahun, perniagaan tempatan Sichuan Jinshang Environmental Protection telah menemui niche dengan memproses sisa makanan berminyak dan mengeksportnya untuk dijadikan sebagai bahan api penerbangan.
“Motto kami ialah, biarkan minyak dari longkang meluncur ke langit,” kata Ye Bin, pengurus besar syarikat itu kepada AFP.
Ye berkata syarikatnya, yang dilancarkan pada 2017, kini mengeluarkan sehingga 150,000 tan minyak gred industri setiap tahun daripada gabungan restoran hotpot dan restoran lain di seluruh Chengdu, termasuk cawangan KFC.
Pada malam biasa, pengumpul yang diupah oleh Jinshang melawat beratus-ratus restoran di sekitar bandar metropolis di barat daya ini.
Prosesnya bermula sebaik sahaja pelanggan beredar, dengan pelayan menuangkan kuah hotpot mereka – yang begitu kaya sehingga digunakan semata-mata sebagai medium memasak – ke dalam penapis khas yang memisahkan minyak daripada air.
Memakai apron tebal dan sarung tangan getah hingga siku, pengumpul kemudian tiba untuk mengambil tong minyak jerry can.
“Ia satu pekerjaan yang bagus – saya bermain mahjong pada waktu siang dan bekerja pada waktu malam,” kata seorang pengumpul bernama Zheng kepada AFP sambil memuatkan sebuah van mini dengan tong-tong minyak yang berbau tengik.
Enap cemar itu kemudiannya diangkut ke taman perniagaan di pinggir bandar di mana kilang Jinshang yang kebanyakannya bersih terletak.
Satu-satunya kesan minyak di sana adalah bau samar hotpot di dok pemunggahan dan kesan-kesan berwarna jingga di bahagian bawah beberapa peralatan.
Minyak disalurkan ke dalam tangki besar dan menjalani proses penapisan yang dapat menyingkirkan air dan kotoran yang masih ada, menghasilkan minyak gred industri yang jernih berwarna kuning.
Minyak tersebut dieksport kepada pelanggan yang berpangkalan terutamanya di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Singapura, yang kemudiannya memprosesnya untuk menjadikan apa yang dikenali sebagai bahan api penerbangan mampan (SAF).
SAF adalah penting untuk menyahkarbonkan sektor penerbangan, yang bertanggungjawab terhadap 2 peratus daripada jumlah pelepasan karbon dioksida (CO2) berkaitan tenaga global pada 2022, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa.
Tetapi, SAF masih belum digunakan secara meluas – menyumbang kurang daripada 0.1 peratus daripada semua bahan api penerbangan yang digunakan – disebabkan oleh kos pemprosesan dan bilangan pembekal yang agak terhad.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa menganggarkan penggunaan meluas minyak tersebut boleh ‘menyumbang sekitar 65 peratus pengurangan dalam pelepasan yang diperlukan oleh sektor penerbangan untuk mencapai sifar bersih pada 2050’.
Jinshang mempunyai rancangan untuk berkembang ke kilang pengeluaran SAF sendiri tidak lama lagi, menggunakan peralatan daripada firma AS, Honeywell untuk menghasilkan 300,000 tan setiap tahun.
MASALAH SISA MAKANAN
Model perniagaan Jinshang merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih luas di China untuk menangani jumlah sisa makanan yang dihasilkan oleh penduduknya yang berjumlah 1.4 bilion orang.
Kira-kira 350 juta tan hasil pertanian – lebih satu perempat daripada pengeluaran tahunan – dibazirkan di negara tersebut setiap tahun, dibuang oleh restoran, pasar raya atau pengguna, menurut kajian Nature 2021.
Di tapak pelupusan sampah, sisa makanan yang membusuk mengeluarkan gas metana yang memanaskan atmosfera lebih cepat daripada kebanyakan bahan lain, menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS.
Ini merupakan masalah besar bagi bandar-bandar di China dan ancaman utama kepada matlamat iklim global – sesuatu yang Beijing telah berikrar untuk menangani dalam pelan pelepasan metana terkini yang memerlukan pembinaan projek pemprosesan sisa makanan yang inovatif di seluruh negara dalam beberapa tahun akan datang.
Di Shanghai, fasiliti rawatan sisa perbandaran telah beralih kepada lalat askar hitam yang sederhana untuk menukar bertantan sisa makanan setiap tahun menjadi baja dan makanan ternakan.
Di loji rawatan sisa Laogang, sebuah bilik tertutup menempatkan 500 juta ulat, yang memakan sehingga 2,500 tan sisa makanan setiap hari, menurut timbalan pengarah loji, Wu Yuefeng.
Ulat-ulat tersebut mengeluarkan bahan seperti tanah yang halus dan hitam yang digunakan semula sebagai baja, manakala larva itu sendiri dibunuh dan dituai untuk dijadikan makanan ternakan.
Kembali ke Chengdu, pemikiran bahawa makan malamnya akan mempunyai kehidupan kedua yang panjang dan produktif membawa keselesaan kepada peminat hotpot, Dong.
“Penggunaan dan peredaran sisa makanan ke seluruh masyarakat ini lebih bermanfaat,” katanya kepada wartawan. – AFP