PARIS, 24 JUN – Para saintis telah menemui cara untuk menggunakan bakteria E.coli bagi menukar sisa plastik kepada ubat penahan sakit popular, menurut satu kajian kelmarin, walaupun pakar luar meragui kaedah itu mampu memberi kesan besar dalam menangani pencemaran plastik.
Paracetamol, salah satu ubat yang paling banyak digunakan di seluruh dunia, dihasilkan daripada derivatif bahan api fosil, lazimnya oleh syarikat subkontraktor di Asia yang menggunakan kaedah murah dan mencemarkan serta menyumbang kepada perubahan iklim. Dunia juga sedang berdepan krisis pencemaran plastik yang semakin meruncing, dengan negara-negara dijadualkan mengadakan satu lagi rundingan penting pada Ogos ini dalam usaha memeterai perjanjian antarabangsa bagi mengurangkan sisa plastik.
Pasukan penyelidik dari Britain yang menjalankan kajian baharu ini cuba mencari penyelesaian kepada kedua-dua masalah tersebut dengan melibatkan unsur ketiga – E.coli, iaitu bakteria yang biasanya dikenali kerana menyebabkan keracunan makanan.
Pertama sekali, ahli kimia menggunakan molekul yang diperoleh daripada plastik PET – jenis plastik yang digunakan dalam botol dan pelbagai produk lain – untuk mencetuskan tindak balas kimia dalam satu strain E.coli.
Tindak balas itu menghasilkan molekul yang dinamakan PABA, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Chemistry, yang sebahagiannya dibiayai oleh syarikat farmaseutikal AstraZeneca.
Dengan mengubah suai genetik bakteria tersebut, para saintis berjaya menukar molekul itu kepada acetaminophen, atau lebih dikenali sebagai paracetamol.
“Penemuan ini menunjukkan bahawa plastik PET bukan sekadar sisa atau bahan yang akan bertukar menjadi lebih banyak plastik – ia boleh diubah oleh mikroorga-nisma menjadi produk baharu yang bernilai, termasuk yang berpotensi untuk merawat penyakit,” kata ketua penyelidik kajian itu, Stephen Wallace dalam satu kenyataan. – AFP


