Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sisi angkat sumpah penggal ketiga

    KAHERAH, 2 APRIL – Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi akan mengangkat sumpah untuk penggal ketiga berturut-turut hari ini di ibu kota baharu yang sedang dibina di luar Kaherah, lapor akhbar kerajaan Al-Ahram, semalam.

    Al-Ahram melaporkan Sisi yang berkuasa selama lebih sedekad akan mengangkat sumpah jawatan perlembagaan hari ini di premis parlimen baharu di ibu kota pentadbiran di timur Kaherah.

    Secara rasmi, Sisi yang berusia 69 tahun akan memulakan penggalnya pada esok, lebih tiga bulan selepas beliau dipilih semula dengan sokongan 89.6 peratus undi berbanding tiga calon yang kebanyakannya tidak dikenali.

    Sisi ialah bekas ketua tentera dan menteri pertahanan, yang mengetuai penyingkiran bekas presiden Mohamed Morsi susulan protes besar-besaran di seluruh negara.

    Mengikut perlembagaan, penggal baharunya itu iaitu selama enam tahun sepatutnya menjadi yang terakhir.

    Ahli Parlimen, Mustafa Bakri, yang rapat dengan kuasa pemerintah berkata, kerajaan mungkin akan meletak jawatan selepas pelantikan Sisi untuk membenarkan rombakan kabinet.

    Angkat sumpah itu akan dibuat dengan latar belakang krisis ekonomi yang teruk, dengan inflasi yang melambung tinggi dan kekurangan mata wang asing yang menyekat perdagangan asing.

    Bagaimanapun, pada trimester pertama 2024, Mesir mendapat manfaat daripada kemasukan berbilion dolar, yang mana AS$35 bilion datang dari Emiriah Arab Bersatu, dan peningkatan AS$5 bilion daripada pinjaman asal AS$3 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

    Penyokong Sisi berkata pengaliran mata wang asing akan menggiatkan semula ekonomi, tetapi pemerhati ragu-ragu akan ada sebarang penambahbaikan tanpa reformasi struktur untuk mengurangkan peranan tentera dan kerajaan dalam ekonomi. – AFP

    Gambar fail Sisi semasa pertemuan dengan menteri tentera Perancis di Istana presiden Ittihadia di Kaherah pada 15 November 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda