Oleh Nurdiyanah R. –
Setiap karya seni pasti memiliki kisah tersendiri yang ingin disampaikan oleh perekanya.
Ia menyimpulkan suatu makna yang mendalam daripada hasil setiap karya seni itu.
Mungkin sebuah karya itu berinspirasi daripada sebuah sejarah, kebudayaan, kisah silam, kenangan terindah, alam sekitar dan sebagainya.
Bagaikan satu jentikan kesedaran betapa pentingnya untuk terus memperkasa asal usul kita sebagai anak Brunei dalam melawan arus zaman silih berganti, begitulah ‘aura’ yang dirasakan apabila penulis melangkah ke ruang pameran majlis perasmian Pesta Konvo UBD 2023 di Pusat Kesenian Pro-Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), kelmarin.
Pameran yang membawa tema ‘Seni dan Teknologi’ itu telah menampilkan empat projek hasil karya mahasiswa-mahasiswa Program Reka Bentuk dan Industri Kreatif (DCI), Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), UBD yang pastinya secara intrinsik memiliki suatu nilai estetika dan kreativiti serta inovasi tersendiri, yang mungkin saja dapat memukau mata penonton.





Di sebalik karya berjudul ‘Kenangan’
Berkongsi mengenai hasil dua buah siri karya sentuhan lukisan peribadi yang diberi nama koleksi ‘Kenangan,’ Awang Mohammad Nixlan bin Kasah @ Johan menjelaskan bahawa karya-karya tersebut menggambarkan suasana era kegemilangan sebelum penciptaan teknologi moden seiring meniti arus pemodenan.
Justeru itu, dengan memaparkan barang-barang lama seperti calapa atau tapak sirih; dan juga kacip atau disebut kalakati pada karya-karya yang dihasilkan itu sememangnya menampilkan nilai nostalgik penuh sentimental yang harus diketahui oleh generasi pada masa kini dan akan datang.
“Sememangnya kacip merupakan salah satu alat budaya dan warisan Melayu turun temurun yang diwarisi daripada nenek moyang kita. Kacip, buah pinang, sirih dan gambir lazimnya sentiasa ada di dalam calapa si pemakan sirih.
“Kacip sememangnya mempunyai seni tersendiri untuk menggunakannya iaitu bagi memotong atau mengacip pinang, bahkan ia juga dilaratkan pada penggunaan dalam sesuatu adat resam,” kongsi Awang Mohammad Nixlan.
“Kehalusan pembuatan dan penghasilan kacip juga menunjukkan tahap pemikiran dan kreativiti orang dulu-dulu walaupun pada ketika itu teknologi tidaklah secanggih sekarang.
“Kemampuan dan nilai kegigihan mereka dalam penghasilan produk sebegitu perlu diterapkan oleh generasi muda sekali gus meningkatkan rasa kepentingan dalam memperkasakan budaya tradisi dalam diri masing-masing,” ujarnya.
Permainan tradisi dilupa jangan
Dalam usaha bagi mengetengahkan kepentingan permainan tradisi sekali gus melambangkan salah satu identiti budaya masyarakat Brunei atau dikenali sebagai ‘calak Brunei’, begitulah hasrat yang ingin dicapai oleh Awang Mohammad Muinuddin bin Bahrin dalam penghasilan projek karya buku beliau yang berjudul ‘Brunei’s Legacy: Ancient Games’.
Menyoroti hasil projek buku nukilan beliau, ia sememangnya memfokuskan kepada lima jenis permainan tradisi di Negara Brunei Darussalam iaitu permainan pasang, batu simban, congkak, tinting dan gasing di mana ia lebih mengandungi maklumat mengenai latar belakang dan teknik bermain disertakan dengan penggunaan aplikasi ARTIVIVE.
“Dalam meniti kemajuan teknologi dan permainan moden pada masa ini, permainan tradisi kurang mendapat pendedahan.
“Saya menaruh harapan penuh agar buku ini bukan sahaja dijadikan sebagai bahan bacaan dan proses pembelajaran, malahan disertakan dengan penggunaan aplikasi moden yang mampu melihat secara langsung apabila diimbas kod yang tertera pada setiap lembaran itu sekali gus mampu menarik perhatian orang ramai terutama golongan muda dan pelancong di negara ini untuk mengetahui keunikan permainan tradisi kita,” luahnya.
Keindahan gerak seni tari tradisi
Sementara itu, Awang Muhammad Farhan bin Ruslan dalam sebuah projek karyanya yang berjudul ‘Wonders of Bruneian Culture’ bertujuan untuk mempromosikan budaya dan tempat-tempat menarik di negara ini dengan menggunakan risalah yang diintegrasikan dengan teknologi ‘Augmented Reality’ (AR).
“Pada masa ini, saya hanya mengetengahkan tarian Temarok dari puak Dusun dan tarian Kayum O Ya Kayum dari puak Melayu Brunei. Walau bagaimanapun, saya turut membuat perancangan untuk meningkatkan lagi jenis tarian tradisi untuk projek ini pada masa akan datang,” jelasnya.
Beliau turut menambah projek tersebut dipaparkan dalam bentuk risalah bagi memudahkan orang ramai terutamanya para pelancong bagi mendapatkan maklumat.
Melalui teknologi AR juga, ia dapat memudahkan para pelancong atau orang ramai untuk menyaksikan tarian-tarian tradisi di negara ini.
Permainan berkonsepkan Kenali Negara Kitani
Selain itu, satu lagi projek menarik untuk diketengahkan melalui permainan papan berunsurkan pendidikan yang menyeronokkan telah dihasilkan oleh Awang Mohammad Muazz Mustaqim Nor-Iman bin Haji Osman yang diberi nama ‘Jalan Jalan: A Bruneian Boardgame’.
Dalam perkongsian tersebut, beliau antaranya menjelaskan permainan berkenaan lebih menumpukan penerokaan pengetahuan mengenai identiti keBruneian dengan menggunakan nama hidangan dan buah-buahan tempatan untuk mengumpul mata dalam permainan, di samping paparan peta lokasi keempat-empat daerah di negara ini.
“Sesuai dimainkan oleh dua hingga empat orang bersaing untuk mengumpulkan mata sebanyak mungkin dengan aturan tertentu.
“Pastinya saya berhasrat untuk menambah baik permainan berkenaan dengan menambah bilangan karakter dan memperluaskan konsep permainan tersebut, di samping memajukannya menjadi permainan digital,” ujarnya.

