Gambar oleh AFP
NOUAKCHOTT – Selama dekad terakhir, pelukis Seb Toussaint telah melancong ke beberapa kawasan termiskin di dunia untuk melukis fresko berwarna cerah pada dinding-dinding kampung yang terpinggir.
Berseluar pendek dan berbaju T, pelukis berusia 35 tahun yang berbangsa Perancis-British ini sentiasa melukis perkataan yang memberikan inspirasi di dalam setiap karya beliau dan kini sedang mencuba menyiapkan karya bertajuk ‘Masa Depan’ di sebuah perkampungan miskin yang penuh dengan debu di pinggir ibu negara Mauritania, Nouakchott.
“Tujuannya ialah untuk melukis perkataan bagi mereka yang tidak mempunyai suara,” katanya.
Beliau dan dua rakan pengembara yang lain telah melukis sebuah bangunan keluli dengan mural berbentuk geometri dan beralun dengan warna putih, biru, dan merah jambu.
Semasa mereka bekerja, kanak-kanak bermain di jalan tanah, menggolekkan tayar atau menendang bola antara rumah-rumah yang dibina secara sementara, manakala wanita-wanita yang penuh rasa ingin tahu, memakai kain renda berwarna-warni sambil berkeliaran di sekeliling rumah-rumah tersebut.





Zaatar adalah satu kawasan yang terletak di pinggir ibu negara, di mana nelayan, pekerja binaan, tukang kayu, dan pekerja kasual mendirikan rumah mereka. Tanahnya mempunyai kandungan garam yang terlalu tinggi menyebabkan ia tidak sesuai untuk ditanam dan hanya terdapat sedikit tumbuhan hijau selain daripada dua pokok akasia yang semakin layu.
Mewarnai kejiranan orang miskin
Sejak tahun 2013, Toussaint telah melukis dinding-dinding simen, kayu, dan besi beralun dengan perkataan dalam pelbagai bahasa dan huruf sebagai sebahagian daripada projeknya yang dipanggil Share the Word.
Ada perkataan Kemanusiaan di Wilayah Palestin, Perubahan di Nepal, dan Kebebasan di Iraq.
Beliau mencari sumber pendapatan dengan melukis mural di Eropah dan menyimpan wang untuk membiayai kira-kira dua perjalanan setahun bagi meluangkan masa selama sebulan di perkampungan miskin atau kem pelarian, di mana beliau menawarkan perkhidmatannya kepada penduduk setempat.
Pemilik rumah akan memutuskan perkataan apa yang ingin ditonjolkan di dalam mural tersebut.
Toussaint memulakan kerjayanya dengan melukis ‘tifos’ – sepanduk koreografi yang berwarna-warni yang dipegang oleh peminat bola sepak di stadium.
Beliau memutuskan untuk mengabdikan dirinya untuk membawa ‘warna ke persekitaran di mana terdapat sedikit sekali warna’, selepas terdedah dengan realiti sebenar yang penuh dengan kesukaran yang dihadapi oleh segelintir orang ketika beliau melancong di seluruh dunia dengan basikalnya satu dekad yang lalu.
Apabila beliau tiba di Zaatar pada awal Januari, “Kami bermain bola sepak dengan kanak-kanak. Saya menjelaskan dengan bahasa Arab yang kurang fasih bahawa matlamatnya adalah untuk melukis rumah-rumah. Salah seorang daripada mereka berkata: ‘Saya ingin awda melukis rumah saya’,
“Tiada siapa yang pernah menolak penawaran kami,” katanya.
Namun, pada awalnya terdapat sedikit keraguan.
“Kami mempunyai keraguan tentang kehadiran mereka, tetapi kami segera sedar bahawa orang-orang ini mempunyai niat yang baik,” kata nelayan, Amar Mohamed Mahmoud, 52.
“Mereka melakukan kerja yang baik yang menceriakan kampung.”
Keamanan dan kasih sayang
Mahmoud mendapat lukisan binatang yang jarang ditemui, Unta, dalam warna biru dan kuning muda, sempena binatang yang memainkan peranan penting dalam masyarakat Mauritania.
Beliau telah melukis lapan mural di kawasan tersebut, antaranya Ibu, Belia, dan Kawan-kawan, dengan warna yang memukau di kejiranan yang sering disinari panas terik matahari.
Beliau menganggarkan bahawa beliau telah melukis 222 mural perkataan di seluruh dunia, dengan cenderung ke arah tema umum Keamanan dan Kasih Sayang.
Beberapa karya seninya bertahan selama bertahun-tahun, sementara yang lain hanya untuk sementara. Beberapa mural pula hilang ketika kem tahanan migran di Calais, utara Perancis dirobohkan.
Menurutnya, mural-mural tersebut juga menjadi latar belakang bagi artis muzik tempatan untuk membuat video. Pernah sekali, di Nepal, salah satu mural dinding yang beliau lukis digunakan sebagai latar belakang untuk sesi penggambaran fesyen. – AFP

