Sissy tepis soal perbandingan

Penyanyi Sissy Imann, 25, menepis persepsi pemilihannya sebagai hos baharu program Muzik Muzik dilihat tidak mampu memancing jumlah penonton tinggi, malah dibandingkan dengan pengacara sebelum ini.

Baginya, setiap hos lama atau baharu mengendalikan program itu mempunyai kelebihan tersendiri dan hanya penonton berhak menilainya.

“Saya percaya tentu ada sebab penerbit melihat saya sesuai berada di posisi program ini.

Muzik Muzik adalah program yang menyajikan perkembangan dan evolusi muzik tanah air. Dari kecil sampai besar hingga sambung pengajian dalam bidang muzik, program ini begitu dekat dengan saya.

“Soal dibandingkan sebagai hos menjadi perkara lumrah. Saya tidak terlalu memikirkan tanggapan orang luar yang suka mahu membandingkan saya dengan hos lalu. Saya lebih risau dengan amanah diberikan,” katanya kepada media.

Sissy Imann menepis persepsi pemilihannya sebagai hos baharu program Muzik Muzik dilihat tidak mampu memancing jumlah penonton tinggi. – Agensi

Amanah dipertanggungjawab juga membuka ruang buat penyanyi lagu Pesan Ayahanda itu mengambil tahu mengenai industri muzik dan lagu.

“Fokus saya kini lebih kepada program ini.

“Ia adalah program besar dan orang tahu reputasi di TV3. Saya cuba pikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan baik.

“Tidak dinafikan, terbit juga kerisauan menggantikan hos sebelum ini. Kita tahu pengacara terdahulu idola ramai, namun ia tidaklah terlalu memberi tekanan.

“Saya fikir lebih baik menjadi diri sendiri dan mencipta keserasian bergandingan dengan pengacara berpengalaman, Alif Satar,” katanya.

Selain itu, Sissy berkata, dia teruja apabila ditawarkan sebagai hos Muzik Muzik. Ia bukan sekadar beroleh pengalaman baharu, namun sedikit sebanyak mampu melonjakkan kerjaya seni yang dibina sejak 2013.

“Jujurnya, saya sudah lama impikan dapat mengendalikan program besar. Ia juga cabaran besar kerana orang tahu saya bukannya pengacara, sebaliknya penyanyi, penulis lagu dan pelakon.

“Ini cabang seni baharu dalam kerjaya. Namun, saya seronok dapat mengembangkannya ke dunia pengacaraan.

“Saya sudah mula bermain muzik sejak berusia lima tahun. Saya dapat merasakan kekuatan muzik itu sendiri. Itu antara sebab saya menyahut cabaran menerima tawaran ini,” katanya.

Sissy memulakan tugas selaku hos baharu program bersama Alif pada awal bulan ini. Terdahulu, program itu pernah membawakan nama besar dalam dunia pengacara seperti Cheryl Samad, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Awal Ashaari dan Sherry Alhadad. – Agensi