Tuesday, April 29, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sistem amaran Jepun cuba atasi segala keterbatasan

    TOKYO – Pada 5 Januari, ketika para pengulang-alik komuter bergegas untuk kembali bekerja selepas cuti panjang Tahun Baharu, bunyi siren yang kuat dari setiap telefon telah memecah suasana sunyi di sana: gempa bumi ‘kuat’ akan berlaku.

    Mesej yang disampaikan menerusi sistem amaran negara, sebahagian daripada mekanisme J-Alert yang mengagumkan, telah memberi amaran bahawa satu gempa bumi besar akan melanda ibu kota Jepun, berpotensi bersamaan dengan skala gempa bumi dahsyat pada tahun 2011 yang telah mengakibatkan kemusnahan yang begitu besar. Berjuta-juta penduduk bersiap sedia untuk menghadapi impaknya…namun ianya tidak terjadi.

    Ternyata sistem itu, yang bertujuan untuk memberi penduduk masa untuk mencari tempat perlindungan sebelum gempa bumi berlaku, telah ditipu dengan kejadian seismologi secara kebetulan.

    Dua gegaran kecil telah melanda hampir tepat pada masa yang sama di lokasi berasingan, menjadikan sistem amaran itu keliru dan mentafsirkan bahawa gegaran mega akan berlaku tidak lama lagi, jelas agensi meteorologi.

    Bahkan Perdana Menteri Shinzo Abe juga berada dalam keadaan berjaga-jaga, dengan rakaman televisyen menunjukkan beliau sedang memeriksa telefonnya apabila sistem penggera berbunyi di pejabat semasa pertemuan kabinetnya.

    Menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan 40 juta pelancong dijangka melawat negara itu, pihak kerajaan telah mula memberi isyarat amaran dalam pelbagai bahasa menerusi aplikasi ‘tip keselamatan.’ – AFP
    Ketika gempa bumi 9.0 magnitud melanda Jepun pada tahun 2011, sistem ini berjaya memberi amaran kepada penduduk antara enam dan 40 saat sebelum gegaran utama pertama berlaku. – AFP

    Ia bukanlah penggera palsu pertama bagi sistem itu, komponen utama J-Alert Jepun telah dilancarkan begitu hebat pada tahun 2007 sebagai cara untuk menyelamatkan nyawa penduduk di dalam sebuah negara yang sering berada di bawah ancaman gempa bumi dan baru-baru ini, peluru berpandu Korea Utara.

    Beberapa negara telah memperkenalkan sistem amaran awal yang serupa untuk gempa bumi yang besar, dengan kebanyakannya bertumpu kepada kawasan gempa tertentu.

    Tetapi sistem Jepun ini adalah unik, kata Issei Suganuma, seorang pegawai saintifik di agensi meteorologi.

    “Sistem kami meliputi seluruh negara dengan kira-kira 1,000 mata pemerhatian,” katanya kepada AFP dengan bangganya.

    Di ibu pejabat agensi itu di Tokyo, sekurang-kurangnya tujuh pegawai seragam kelihatan memantau di bilik pemerhati gempa bumi. Skrin besar tergantung pada dinding yang menunjukkan data gelombang seismos masa nyata.

    Dalam kes bencana gempa bumi, mereka akan mengesan gegaran kecil awal melalui seismometer dan segera memberi amaran kepada kerajaan tempatan melalui J-Alert, beberapa saat sebelum gegaran kuat pertama dirasakan.

    Agensi itu juga akan terus menghantar mesej SMS dan membunyikan penggera amaran pada telefon penduduk tempatan.

    Agensi penyiaran juga menerima isyarat itu bagi memberitahu amaran berita kilat tersebut, manakala perkhidmatan kereta api segera diberhentikan.

    Ketika gempa bumi 9.0 magnitud melanda Jepun pada tahun 2011, sistem itu berjaya memberi amaran kepada penduduk antara enam dan 40 saat sebelum gegaran utama pertama berlaku.

    Sistem J-Alert juga memberi amaran terhadap peluru berpandu, khususnya dalam masa yang berkaitan semasa meningkatnya ketegangan antara Korea Utara tahun lepas.

    Dalam hal pelancaran peluru berpandu, satelit pengintip AS atau kapal-kapal Perlindungan Jepun akan mengesan isyarat awal dan menghantarnya kepada kementerian pertahanan Jepun.

    Kementerian itu dengan pantas mengesan tempat dan kelajuan peluru berpandu tersebut sebelum pejabat perdana menteri mencetuskan sistem penggera, mengeluarkan amaran antara dua dan lima minit sebelum mereka menerbangkannya ke seluruh negara.

    J-Alert juga berdepan kritikan. Selain menghadapi masalah teknikal yang boleh membawa kepada amaran palsu, ramai yang merasakan bahawa amaran itu cukup singkat. Apabila peluru berpandu Korea Utara terbang melintasi Jepun pada bulan Ogos dan September lalu, penduduk merungut bahawa mereka tidak mempunyai masa untuk mencari tempat perlindungan. – AFP

    Menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan 40 juta pelancong dijangka melawat negara itu, pihak kerajaan telah mula memberi isyarat amaran dalam pelbagai bahasa menerusi aplikasi ‘tip keselamatan.’

    Tetapi J-Alert juga berdepan kritikan. Selain menghadapi masalah teknikal yang boleh membawa kepada amaran palsu, ramai yang merasakan bahawa amaran itu cukup singkat. Apabila peluru berpandu Korea Utara terbang melintasi Jepun pada bulan Ogos dan September lalu, penduduk merungut bahawa mereka tidak mempunyai masa untuk mencari tempat perlindungan.

    “Kami diberitahu untuk masuk ke dalam sebuah bangunan yang stabil atau bawah tanah, tetapi bagaimana untuk kami mencari tempat seperti itu dalam masa beberapa minit sahaja?” kata Atsuko Koide, 64, seorang suri rumah di Akita, utara Jepun.

    “Ia sepertinya sia-sia buat warga emas yang tidak dapat bergerak dengan cepat,” kata Koide kepada AFP.

    Satu kajian yang dijalankan oleh kerajaan pada tahun lepas mendapati bahawa hanya lima peratus responden yang berjaya berpindah atau mengambil langkah-langkah perlindungan sebagai respons terhadap amaran peluru berpandu.

    Sesetengah responden berkata mereka tidak mempunyai masa atau tidak tahu ke mana hendak dituju, sementara yang lain mengatakan bahawa langkah-langkah pemindahan adalah sia-sia.

    “J-Alert sahaja adalah tidak mencukupi,” kata Mitsuru Fukuda, profesor pengurusan risiko di Universiti Nihon di Tokyo.

    “Adalah jelas bahawa terdapat had bagi apa yang boleh dilakukan oleh negara dan kerajaan tempatan,” kata Fukuda kepada AFP.

    Fukuda menyeru agar pihak berkuasa untuk meningkatkan lagi kesedaran orang ramai tentang langkah-langkah yang boleh diambil bagi melindungi diri mereka sebelum bantuan kerajaan tiba, dengan berkata: “Ia adalah keputusan atau tindakan individu selepas amaran.”

    Berikutan amaran palsu pada awal tahun ini, agensi meteorologi telah memperkenalkan alat analisis baharu untuk mengelakkan kekeliruan, sama ada gempa kecil mahupun besar. Walau bagaimanapun, pegawai agensi Suganuma mengakui terhadap keterbatasan sistem itu.

    “Memandangkan kami perlu mengeluarkan amaran dalam masa yang agak terhad, kadang-kadang ia tidak berjalan lancar seperti yang dirancangkan…Sukar untuk mencapai 100 peratus pasti,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda