Vokalis kumpulan NOAH yang juga merupakan Timbalan Ketua Umum Vibrasi Suara Indonesia (VISI), Nazril Irham atau lebih dikenali sebagai Ariel, tampil memberi penjelasan berhubung isu hak royalti bagi pencipta lagu dalam industri muzik Indonesia.
Meskipun Ariel kini menyertai organisasi yang didominasi oleh golongan penyanyi, dia menegaskan ia tidak bermakna dirinya tidak menyokong perjuangan para pencipta lagu yang bernaung di bawah Asosiasi Komposer Seluruh Indonesia (AKSI).
Kata Ariel, selain dikenali sebagai penyanyi, ramai tahu bahawa dia turut terlibat secara langsung dalam penciptaan beberapa lagu kumpulan Peterpan dan NOAH.
“Saya akui, saya menerima royalti kerana saya juga mencipta lagu,” kata Ariel semasa menjadi tetamu dalam podcast TS Media, baru-baru ini.
Menurut Ariel, dia secara peribadi pernah merasai sistem pengagihan royalti oleh Lembaga Manajemen Kolektif Nasional (LMKN) kepada pencipta lagu, termasuk royalti dari luar negara atas pemutaran lagunya secara komersial.

“Royalti itu datang dari dalam negara, malah kadang kala dari luar negara juga. Malah kadang lebih besar daripada yang di dalam negara,” jelasnya.
Ariel turut menerangkan bagaimana LMK (Lembaga Manajemen Kolektif) akan bekerjasama dengan LMKN, yang kemudian akan berkoordinasi pula dengan badan pengurusan royalti di luar negara berkaitan lagu-lagu yang diputarkan.
Bagaimanapun, Ariel mengakui sistem pengagihan royalti di Indonesia masih mempunyai banyak kelemahan dan perlu diperbaiki secara menyeluruh.
“Saya pernah dengar ada pencipta lagu yang tak menerima royalti walaupun penyanyi yang menyanyikan lagunya sudah membuat bayaran kepada LMKN.
“Sehubungan itu, saya bersetuju bahawa sistem sedia ada memerlukan penambahbaikan dari pelbagai aspek, termasuk cara tuntutan royalti dan pendekatan dalam memberi kefahaman kepada semua pihak terlibat.
“Sistem ini memang perlu diperbaiki, cara menagihnya, cara memberi kesedaran dan penerangan juga,” tambahnya.
Selain itu, Ariel juga menyentuh tentang kesukaran yang dihadapi oleh sebilangan penyanyi yang merasa seolah-olah diperas apabila diminta membayar royalti kepada pencipta lagu.
“Perlu ada pihak yang boleh beri penjelasan yang jelas tentang bagaimana penyanyi dan pencipta lagu berkongsi hak atas sesuatu karya,” tegas Ariel. – Agensi