Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Sistem Pengurusan Maklumat Kesihatan (Bru-HIMS) yang mula dilaksanakan pada 2012, kini diperkembangluaskan keupayaannya menerusi Projek Sistem Bru-HIMS 2.0.
Sehubungan itu, Majlis Penandatanganan Kontrak bagi Sistem Bru-HIMS 2.0 telah diadakan hari ini di Dewan Al’-Afiah, Kementerian Kesihatan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan kontrak perjanjian berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dan pegawai dari Kementerian Kesihatan, Dynamik Technologies Sdn Bhd, Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), Gleneagles JPMC (GJPMC), Tsystems, Aixelink dan EVYD.
Penandatanganan kontrak bagi Kementerian Kesihatan telah disempurnakan oleh Haji Maswadi dengan disaksikan oleh Pemangku Pengarah Teknologi Penjagaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Awang Rudy bin Haji Harun.
Manakala mewakili Dynamik Technologies Sdn Bhd ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dayang Haslina binti Haji Mohd Taib dan disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Dynamik Technologies Sdn Bhd, Dr Chin Wei Keh.
Bru-HIMS ialah satu sistem rekod perubatan elektronik aras dasar Satu Pesakit Satu Rekod yang telah mula dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam pada 2012.
Dalam masa 10 tahun pelaksanaannya, sistem itu telah mencapai objektifnya dalam memudahkan pemberian perkhidmatan yang teratur kepada orang ramai dan ia sangat berfaedah terutama semasa pandemik COVID-19 yang lalu.
Antara faedah yang telah dapat dimanfaatkan termasuk pengurusan rawatan dan pemeriksaan pesakit yang lebih efisien dengan menyediakan akses kepada maklumat pesakit dari mana-mana kemudahan kesihatan kerajaan di seluruh negara dan membantu para profesional membuat rujukan kepada sejarah perubatan dan masalah kesihatan yang dialami oleh pesakit serta membuat diagnosis dengan tepat dan berkesan.
Selain itu, infrastruktur sistem yang sedia ada juga memerlukan penambahbaikan dan pembaharuan dalam mengambil kira peningkatan dalam jumlah keperluan pengguna di kalangan profesional kesihatan dan perkembangan teknologi yang sangat pesat.
Dengan adanya projek itu, pengemasan maklumat kesihatan dan data pesakit akan dapat dibuat secara lebih komprehensif, mempunyai ketersediaan yang tinggi, berdaya tahan, scalability dan aliran kerja yang kemas kini serta keadaan maklumat kesihatan pesakit yang holistik.
Projek Sistem Bru-HIMS 2.0 juga bertujuan untuk memperkembangluaskan keupayaan sistem daripada sistem yang sedia ada dengan ciri-ciri utama iaitu sistem Enhanced Electronic Medical Record (EMR), Enhanced Clinical Decision Support, Integrasi dengan ciri-ciri dalam sistem BruHealth yang tersedia ada dan optimized infrastructur yang mempunyai ketersediaan yang tinggi, berdaya tahan, scalability dan interoperability.
Projek itu juga akan dilaksanakan di JPMC, PJSC dan GJPMC untuk memenuhi 100 peratus objektif iaitu Satu Pesakit Satu Rekod. Projek berkenaan akan bermula pada Oktober 2023 dan tempoh projek dianggarkan selama 18 bulan.