BALASORE, INDIA, 4 JUN – Punca kemalangan kereta api yang dahsyat di India dalam beberapa dekad dikaitkan dengan sistem isyarat, kata menteri kereta api, kelmarin, ketika keluarga mencari saudara yang hilang di hospital dan angka kematian telah mencecah 288 orang.
Timbunan serpihan kelihatan di lokasi nahas berhampiran Balasore, di negeri timur Odisha, ketika pekerja membaiki landasan, membersihkan gerabak yang remuk dan serpihan berlumuran darah di mana ratusan orang turut cedera.
Pihak hospital dibebani dengan jumlah orang terkorban dan mereka yang cedera.
“Kami telah mengenal pasti punca kemalangan dan orang yang bertanggungjawab ke atasnya,” kata Menteri Kereta Api India, Ashwini Vaishnaw kepada agensi berita ANI.
Beliau berkata adalah tidak wajar untuk memberikan butiran sebelum laporan siasatan dimuktamadkan.

Terdapat kekeliruan mengenai urutan kejadian yang tepat tetapi laporan memetik pegawai kereta api mengatakan kesilapan isyarat telah menyebabkan Coromandal Express menghala ke selatan dari Kolkata ke Chennai ke landasan sebelah.
Ia merempuh sebuah kereta api pengangkut barang dan serpihan itu menggelincirkan kereta api ekspres yang bergerak ke utara dari hab teknologi India, Bengaluru ke Kolkata yang juga melalui tapak itu.
Sudhanshu Sarangi, ketua pe-ngarah Perkhidmatan Bomba, Odisha berkata kematian kini 288 orang tetapi dijangka terus meningkat, kemungkinan mencecah 380 orang.
Ketua Setiausaha Negara, Odisha Pradeep Jena mengesahkan bahawa kira-kira 900 orang yang cedera telah dimasukkan ke hospital. – AFP

