(SIRI DUA)
APAKAH prinsip hidup anda? Soalan ini biasa ditanya dalam program, sesi suai kenal, minggu orientasi dan dalam keadaan-keadaan yang seumpama dengannya. Sebenarnya, apakah itu ‘prinsip hidup’? Adakah ia penting sehinggakan sering ditanyakan dalam program-program yang ditanyakan sebelum ini?
Sudah tentu prinsip hidup itu penting kerana prinsip hidup yang membentuk siapa diri kita. Prinsip hidup mencetuskan kuasa dan daya bertindak seseorang sehingga membentuk landasan dalam hidupnya. Biasanya, prinsip hidup seseorang itu dikaitkan dengan elemen nilai yang tertentu. Ia adalah kombinasi antara kuasa nilai sejagat dan sistem kepercayaan.
Prinsip hidup adalah kombinasi nilai dan kepercayaan
Prinsip hidup biasanya mengandungi nilai-nilai sejagat yang sudah dilandasi dengan sistem kepercayaan yang tertentu. Misalnya, dalam prinsip pendakwah atau pembimbing, nilai sejagat yang ada pada mereka adalah ‘memberi’. Contoh lain adalah prinsip hidup ‘Usaha Tangga Kejayaan’. Nilai yang ada di dalamnya adalah ‘usaha’.






Prinsip pendorong vs prinsip pengekang
Seperti yang kita bincangkan sebelum ini, sistem kepercayaan terdiri daripada prinsip-prinsip yang dipegang oleh individu. Seperti dalam sains, terdapat prinsip-prinsip tertentu seperti prinsip keabadian tenaga, prinsip kuantum, prinsip graviti dan pelbagai lagi.
Begitu juga dengan manusia. Setiap orang mempunyai prinsip hidup yang ‘mengatur’ tingkah laku mereka selama ini. Sama ada kita menyedarinya ataupun tidak, ia masih tetap berfungsi dan mengatur kita. Kita bertindak berdasarkan apa yang kita percaya berkenaan sesuatu. Kita bertindak berdasarkan prinsip yang kita pegang kepada sesuatu, walaupun kita tidak sedar kewujudan prinsip itu, seperti Albert Eisntein pernah menyebut,
“Sebegitunya bulan itu tetap wujud, walaupun saya tidak memandang ke arahnya.”
Berikut adalah antara prinsip yang biasa kita dengar berkenaan perniagaan:
-Membaca itu penting dalam meningkatkan strategi bisnes.
-Dalam bisnes, modal adalah segala-galanya.
-Dalam bisnes, idea adalah segala-galanya.
-Sekiranya mahu berjaya dalam perniagaan, perlu masuk kontrak kerajaan.
-Bisnes adalah melobi.
-Perniagaan memerlukan daya kepimpinan, kebegituan, pemikiran kreatif dan strategik.
-Perniagaan adalah hubungan dan rangkaian sosial.
-Pertanian adalah perniagaan.
-Sekiranya mahu bisnes berjaya, perlu bankrap terlebih dahulu.
-Sekiranya mahu bisnes berjaya, perlu mencuba semuanya.
-Sekiranya mahu bisnes berjaya, perlu tambahkan ilmu.
Prinsip hidup yang membentuk sistem kepercayaan seseorang itu begitu berkuasa. Prinsip hidup membentuk gaya fikir dan tingkah laku dirinya itu. Menariknya, sesuatu prinsip itu tidak perlu benar dan hakiki. Sekiranya seseorang itu berpegang kepada prinsip yang salah, prinsip itu tetap membentuk tingkah laku dan tindakan seseorang, berdasarkan prinsip yang salah itu.
Adakah benar untuk berjaya dalam bisnes, seseorang itu perlu bijak menipu? Adakah ini prinsip yang benar dan hakiki? Jawapannya sudah pasti tidak. Sekiranya benar mahu berjaya dalam bisnes, seseorang itu perlu bijak menipu, bagaimana pula kedudukan Nabi Muhammad yang dikenali sebagai seorang yang sangat jujur dan amanah? Nabi Muhammad adalah pedagang yang berjaya dalam perniagaan multinasional sebelum kerasulannya.
Bagaimanakah pula dengan Uthman bin Affan, Suhail ar-Rumi dan Imam Abu Hanifah? Mereka juga terkenal sebagai ahli perniagaan yang bergelar hartawan. Adakah mereka juga bijak menipu? Sudah tentu prinsip menipu itu tadi tidak benar. Prisnip itu tidak betul dan tidak hakiki.
Bagaimanakah pula dengan diri anda? Cuba renungkan, betapa banyak peluang keemasan yang hadir dalam hidup kita, kemudian kita lepaskan begitu sahaja kerana ‘prinsip’ yang mengekang kita daripada bergerak jauh ke hadapan? Pada masa yang sama, kita sukar memberikan komitemn kepada urusan seharian. Ini kerana kita kurang prinsip pendorong yang membakar semangat bagi memberikan yang terbaik dalam kerja yang kita lakukan.