SAN FRANCISCO, 11 MEI – Sistem pengangkutan awam utama San Francisco ditutup secara tiba-tiba Jumaat lalu, menghentikan semua kereta api di Kawasan Teluk dan menyebabkan perjalanan pagi menjadi huru-hara.
“Disebabkan masalah rangkaian komputer, perkhidmatan BART digantung seluruh sistem sehingga diberitahu kelak,” kata mesej di laman web Bay Area Rapid Transit. “Cari pengangkutan alternatif,” tambahnya.
Penutupan itu menyebabkan puluhan ribu penumpang berebut-rebut mencari jalan lain untuk bekerja.
Siaran gambar menunjukkan orang ramai menggunakan khidmat bas, manakala laporan mengatakan kedua-dua Jambatan Golden Gate dan Jambatan Oakland Bay laluan utama masuk dan keluar dari bandar tersekat.
Tidak seperti kebanyakan bandar utama Amerika Syarikat, San Francisco mempunyai rangkaian pengangkutan awam yang dibangunkan dengan baik termasuk rangkaian kereta api bawah tanah, bas, trem dan feri yang merentasi teluk antara San Francisco dan bandar lain di rantau itu.
Penutupan sistem kereta api BART, yang mempunyai trek sepanjang 210 kilometer membawa lebih 174,000 penumpang setiap hari, nampaknya berkaitan dengan cara sistem itu dikuasakan selepas penyelenggaraan semalaman, kata Pegawai Komunikasi, Alicia Trost kepada ABC7. – AFP
