Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Kualiti perkhidmatan perubatan, penjagaan kesihatan dan pengurusan Kementerian Kesihatan diberikan penekanan serta mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam keberangkatan tidak berjadual ke kementerian berkenaan, kelmarin.
Dalam titah semasa keberangkatan berkenaan, Baginda Sultan menekankan bahawa sistem kesihatan di negara ini masih memerlukan penambahbaikan dan penaiktarafan.
“Bagi tujuan ini, kerajaan Beta telah menyediakan peruntukan dan perbelanjaan yang besar khusus bagi projek-projek seperti penaiktarafan dan pemuliharaan bangunan-bangunan hospital, pusat kesihatan dan klinik kesihatan, pembinaan pusat-pusat kesihatan baharu, pembekalan mesin-mesin perubatan terkini, penggantian peralatan perubatan yang sudah luput usia yang akan diselenggarakan secara berperingkat mengikut keutamaan.”
Salah satu langkah bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan perubahan dan penjagaan kesihatan di Negara Brunei Darussalam serta untuk pembukaan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, Baginda Sultan telah memperkenankan sebanyak 996 jawatan untuk diwujudkan oleh Kementerian Kesihatan secara berperingkat dari 2023 hingga 2027.
Dalam pada itu, Baginda mengingatkan semua pihak khususnya pengurusan kementerian supaya sentiasa bersikap amanah dan jujur.
“Setiap perbelanjaan hendaklah diurus secara berhemah, teliti serta bebas daripada semua bentuk penyelewengan seperti rasuah, penipuan dan salah guna kuasa.”
Baginda bertitah, “Tidak boleh ada pendekatan atau amalan jalan pintas atau shortcut dalam sebarang pengurusan yang melibatkan kesihatan, kesejahteraan, kebajikan dan nyawa seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.
“Pada masa yang sama, dalam kerancakan melaksanakan penaiktarafan dan pembaikan, Beta ingin mengingatkan supaya Kementerian Kesihatan tidak hilang fokus terhadap masalah-masalah dasar yang masih saja sering dide-ngar seperti rungutan orang ramai tentang masa yang terlalu lama sehingga ada yang mengambil masa tiga ke empat jam untuk berjumpa doktor termasuk bagi mendapatkan rawatan kecemasan.”
Baginda Sultan bertitah bahawa tempoh menunggu bagi membuat pemeriksaan lanjut juga mengambil masa yang terlalu lama sehingga sampai berbulan-bulan lamanya.
Di samping itu, masih juga terdengar rungutan mengenai masa menunggu giliran yang terlalu lama untuk mengambil ubat dan mengenai kualiti ubat yang berbeza daripada ubat yang diperoleh dari klinik atau hospital swasta.
“Ada kalanya juga pesakit hanya dimaklumkan mengenai ketiadaan ubat yang diperlukan setelah tiba giliran mereka dan setelah mereka menunggu berjam-jam lamanya.
“Demikian juga terdapat ru-ngutan tentang masalah letak kereta khusus di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang mempunyai tempat letak kereta yang sangat terhad.
“Terdapat juga pemberitahuan atau pemakluman mengelirukan yang diberikan di pusat-pusat kesihatan seperti tentang perubahan perkhidmatan yang ditiadakan di hospital dan pesakit perlu ke pusat kesihatan yang lain,” tegas Baginda.
Selain itu, titah Baginda lagi, terdapat klinik-klinik yang tidak menerima pesakit hanya kerana bukan klinik tadahan pesakit.
“Beta turut mendengar peringatan untuk tidak menggunakan kekerasan yang terpampang di papan-papan tanda di hospital-hospital dan klinik-klinik, tetapi peringatan ini sebaliknya disalahgunakan oleh segelintir tenaga kerja Kementerian Kesihatan untuk bersikap kasar, tidak bersopan santun dan tidak menunjukkan simpati terhadap pesakit termasuk kepada warga emas dan ibu-ibu yang baru bersalin.
“Beta melihat etika kasar dan tidak bersopan santun terhadap pesakit bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan. Beta tidak mahu ia berlaku di rumah-rumah sakit kita. Etika seperti ini bukan etika Negara Zikir atau Negara MIB,” tekan Baginda.
Baginda Sultan bertitah menyatakan bahawa Negara Zikir atau Negara MIB adalah negara yang menyanjung tinggi konsep rahmat dan belas kasihan kepada semua tanpa mengira pegangan agama dan kaum.
“Beta tidak mahu mendengar adanya pesakit yang diabaikan, apatah lagi yang disakiti dengan layanan-layanan berbeza seperti layanan untuk golongan tertentu dilakukan dengan baik, sementara layanan kepada golongan awam dilakukan dengan kasar dan tidak bersopan.
“Beta menyebutkan perkara ini sebagai peringatan kerana kita juga turut mengetahui melalui media tentang beberapa kejadian tidak bertanggungjawab pernah berlaku dalam kalangan sesetengah kakitangan rumah-rumah sakit di luar negara yang bukan hanya setakat mengasari pesakit bahkan juga lebih daripada itu, sampai ke tahap melakukan jenayah berat terhadap pesakit.
“Alhamdulillah, kejadian malang seperti ini belum pernah berlaku di negara ini, melainkan hanya masih didengar adanya sikap kasar dan tidak bersopan santun ke atas pesakit itu sahaja.
“Namun pada Beta, apa pun bentuk sikap kasar dan tidak bersopan ke atas pesakit, sama sekali tidak boleh dibenarkan berlaku,” titah Baginda.
Baginda seterusnya menekankan kepada Kementerian Kesihatan supaya jangan terlepas pandang mengenai perkara-perkara berkenaan serta memastikan benar-benar ia tidak berlaku di rumah-rumah sakit kita.
Kementerian Kesihatan, tegas Baginda, di samping mengelinga semua perkara yang berkaitan, satu perkara khusus iaitu mengenai kebajikan warga kerja kementerian berkenaan hendaklah jangan diabaikan.
“Perkara khusus tersebut, meliputi yang bersangkutan dengan hal ehwal perjawatan, work life balance, kemudian elaun lebih masa, penjadualan bertugas yang tidak terlalu membebankan dan lain-lain.
“Juga ingin Beta sebutkan di sini ialah pada era kebelakangan ini telah timbul budaya mengeluarkan surat-surat layang sebagai cara menyalurkan aduan-aduan, namun perlu diingat ia tetap akan jadi perbuatan salah atau subversif apabila ia digunakan untuk tujuan-tujuan menghasut dan menyelitkan maklumat-maklumat yang tidak tepat atau yang berunsur fitnah atau tohmahan untuk menjatuhkan pegawai-pegawai atasan yang tidak mereka sukai.
“Dalam hubungan ini, Beta mahu supaya maklumat-maklumat seperti itu hendaklah diperiksa kesahihannya sebelum mengambil sebarang sikap atau tindakan.”
Baginda Sultan seterusnya menzahirkan perasaan amat menghargai segala usaha berterusan Kementerian Kesihatan dalam melaksanakan pelbagai strategi ke arah mengukuhkan lagi prasarana kesihatan awam negara.
“Beta juga ingin menzahirkan rasa bangga dan gembira mengetahui bahawa 70 peratus daripada jumlah keseluruhan jawatan pakar dan konsultan di Kementerian Kesihatan iaitu sebanyak 120 jawatan telah diisikan oleh doktor-doktor tempatan.
“Beta berharap usaha untuk melahirkan pakar-pakar dalam bidang perubatan yang terdiri daripada anak-anak tempatan ini akan dapat diteruskan hendaknya.
“Beta percaya tahap profesionalisme warga Kementerian Kesihatan masih boleh diperbaiki selain aspek pengetahuan dan kemahiran, aspek akhlak yang baik, keprihatinan dan kesopanan berbahasa juga perlu dititikberatkan.
“Kerana semua itu, adalah paling menyumbang kepada mengurangkan beban sakit yang ditanggung oleh pesakit,” tekan Baginda.