Minggu lepas, saya mengunjungi beberapa buah kedai emas di sekitar Bandar Seri Begawan untuk mencari cincin tunang.
Dalam proses itu, saya berdepan sedikit kesulitan – bukan kerana pilihan cincin, tetapi kerana urusan letak kereta.
Sistem letak kereta di kawasan pusat bandar masih bergantung kepada kaedah goresan kupon dan itu menyebabkan saya terpaksa berjalan agak jauh hanya untuk mendapatkan kupon tersebut.
Selain itu, kaedah goresan ini secara jujur agak ketinggalan dari segi kecekapan dan praktikaliti.
Kesilapan kecil seperti salah gores waktu, terlupa atau kehilangan kupon atau bahkan tidak tahu mengenainya, boleh mengakibatkan saman walaupun pengguna sebenarnya berniat baik untuk mematuhi peraturan.

Sebagai seorang pemerhati yang peka terhadap pembangunan bandar, saya ingin mencadangkan satu penambahbaikan penting iaitu memperkenalkan sistem letak kereta secara digital yang lebih mudah, cepat dan selari dengan perkembangan teknologi semasa.
Sistem ini boleh dibangunkan dalam bentuk aplikasi mudah alih atau laman sesawang rasmi yang membolehkan pengguna membuat bayaran secara atas talian.
Bayaran boleh dilakukan melalui kad debit/kredit atau e-wallet dari bank tertentu.
Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR yang tersedia pada setiap kotak letak kereta, memasukkan nombor plat kenderaan dan sistem akan merekodkan tempoh parkir secara automatik.
Ciri seperti notifikasi tamat masa, fungsi tambah masa serta peta lokasi parkir kosong boleh dimuatkan untuk memudahkan lagi pengalaman pengguna.
Usulan ini juga bertepatan dengan hala tuju Inisiatif Bandar raya Pintar (Smart City) yang sedang digerakkan oleh pelbagai pihak berkuasa di negara ini.
Dengan sistem digital, pihak berwajib boleh mengakses data masa nyata bagi mengenal pasti tabiat pengguna jalan raya, kesesakan kawasan dan merancang pembangunan secara lebih berkesan. Ia juga mengurangkan kebergantungan kepada bahan bercetak dan menyumbang kepada inisiatif mesra alam.
Pengalaman saya baru-baru ini mungkin kelihatan kecil, namun ia mencerminkan keperluan mendesak untuk sistem yang lebih moden, responsif dan efisien di ibu negara.
Leely






