Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Sistem Makmal Kesihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNHLS) memberikan penekanan kepada beberapa perkara yang mendorong kepada kecemerlangan, kepuasan pelanggan yang lengkap dan peningkatan kualiti yang berterusan.
“Pada peringkat awal ini, pembentukan dan pelaksanaan BDNHLS akan mencapai dua tindakan utama iaitu, pertama, memperkukuhkan mekanisme perkongsian maklumat dan kepakaran makmal melalui Joint National Taskforce for Zoonotic Diseases dan kedua, mewujudkan mekanisme kebangsaan untuk perlesenan makmal berdasarkan kepada undang-undang yang sedia ada.”
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran BDNHLS yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Turut hadir dan sama-sama melancarkan sistem itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham berkata, sebuah jawatankuasa pandu iaitu Jawatankuasa Sistem Makmal Kesihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNHLS-C) telah ditubuhkan yang akan dipengerusikan bersama oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan dan Timbalan Setiausaha Tetap Kedua di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta.
Beliau menambah bahawa jawatankuasa berkenaan, ditubuhkan untuk mengawasi, memastikan dasar dan objektif BDNHLS dilaksanakan dengan betul dan berkesan.
BDNHLS-C itu pula akan didukung oleh Kumpulan Kerja Teknikal Makmal Kebangsaan (NLTWG) yang dipengerusikan bersama oleh ketua-ketua Jabatan Perkhidmatan Makmal dan Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan Perikanan, KSSUP serta ahli-ahli sekretariat dan kumpulan kerja bagi kategori Pendaftaran dan Perlesenan, Kualiti dan Pematuhan, Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Persekitaran (HSSE) serta Penyelidikan dan Perkembangan.
Majlis diteruskan dengan pelancaran BDNHLS yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf.
Majlis kemudian menyaksikan penyerahan buku-buku BDNHLS kepada pihak-pihak berkepentingan dan ahli-ahli jawatankuasa BDNHLS yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf.
Pelancaran itu juga menyaksikan tayangan sebuah video yang merumuskan BDNHLS, satu dokumen yang menggariskan rangka sistem kesihatan khusus bagi sektor kesihatan manusia, haiwan dan tumbuhan. Dokumen itu mengandungi polisi Makmal Kesihatan Kebangsaan, strategi dan objektif-objektif bagi elemen-elemen utama perkhidmatan makmal.