Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 30 April – Sistem pembelajaran yang diguna pakai di Mahad Islam Brunei telah terbukti mampu melahirkan penuntut-penuntut yang cemerlang dalam kedua-dua bidang iaitu agama dan umum.
Oleh itu, penuntut-penuntut Mahad Islam Brunei merupakan penuntut yang bertuah kerana berpeluang menerokai pelbagai bidang ilmu yang bukan sahaja terhad kepada bidang agama dan Arab, malah berpeluang mempelajari dalam bidang umum.
Perkara tersebut telah ditekankan oleh Timbalan Setia-usaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Harun bin Haji Junid semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Mahad Islam Brunei di Dewan Mahad Islam Brunei, kelmarin.
Haji Harun juga berharap penuntut-penuntut akan dapat menghiasi diri dengan akhlak-akhlak mahmudah iaitu akhlak yang terpuji dan sentiasa mengamalkan segala ilmu yang diperoleh dalam kehidupan seharian dan juga ilmu yang dipelajari.

Penyampaian hadiah telah dibahagikan kepada beberapa kategori, antaranya penyampaian hadiah bagi Pelajar Terbaik Tahun 1437H/2016M; Pelajar Terbaik Keseluruhan 1437H/2016M; hadiah galakan dari Bahagian, Jabatan dan Guru Mata Pelajaran PSR, SPUB dan ‘O’Level; Terbaik dalam Kedatangan 100% tahun 1437H/2016M; Pelajar Terbaik dalam PSR, PKP, SPUB dan BC-GCE ‘O’ Level, Penghargaan Akademik, Penghargaan Khas Ko-Kurikulum dan Pelajar Cemerlang Akademik.
Seramai 184 orang penuntut telah menerima hadiah mengikut kategori-kategori berkenaan. Turut hadir di majlis itu ialah Pengetua Mahad Islam Brunei, Pengiran Haji Asmady bin Haji Aliuddin.
Majlis bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada penuntut-penuntut yang mencapai kecemerlangan di dalam pembelajaran masing-masing bagi peperiksaan-peperiksaan bersijil.