Thursday, May 8, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sistem pemilihan Agong secara bergilir pemangkin kestabilan negara

    Oleh Ali Imran Mohd Noordin

    KUALA LUMPUR – Pemilihan Yang di-Pertuan (YDP) Agong sebagai pemerintah tertinggi negara secara bergilir melambangkan kestabilan sistem pentadbiran yang diguna pakai di Malaysia. Memetik buku Dustur Wa Salatin tulisan Datuk Wira Dr. Khairil Annas Jusoh terbitan 2014, Malaysia adalah satu daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja.

    Daripada 43 negara ini, 36 daripadanya mengamalkan sistem raja berperlembagaan sementara lima yang lain mengamalkan sistem beraja kuasa mutlak dan dua negara iaitu Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu mengamalkan sistem beraja campuran mutlak serta berperlembagaan.

    Negara yang mengamalkan sistem beraja mutlak adalah Brunei Darussalam, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Switzerland.

    Antara negara yang pernah dan masih mengamalkan sistem raja berperlembagaan adalah Australia, Belgium, Bhutan, Kemboja, Jepun, Lesotho, Luxembourg, Monaco, New Zealand, Sweden, Thailand, dan Britain.

    Bergilir sembilan negeri

    Ada sembilan negeri di Malaysia yang mempunyai raja iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Perak, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan. Tujuh daripada sembilan negeri ini menggunakan gelaran Sultan manakala Perlis menggunakan gelaran Raja dan Negeri Sembilan pula menggunakan gelaran Yang Di-pertuan Besar

    Sejak 1957, kesemua pemerintah bergilir-gilir menaiki takhta sebagai YDP Agong bermula dengan urutan Negeri Sembilan, diikuti Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Johor dan yang terakhir dalam pusingan pertama adalah Perak.

    Menurut Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah, apabila penggiliran ini masuk ke pusingan kedua, ia dijadikan asas memilih YDP Agong.

    Bagaimanapun, ia bukan menjadi sesuatu yang bertulis kerana pelantikan YDP Agong masih memerlukan undi majoriti Raja-Raja Melayu. Sistem penggiliran ini penting. Pertama ia mencerminkan kedaulatan negara dipegang oleh raja-raja secara bergilir setiap lima tahun.

    Kedua, ia melangsungkan kaedah pelantikan secara syura ataupun bai’ah kerana raja-raja ini adalah raja kepada negeri-negeri Melayu. Negeri-negeri Melayu inilah yang mengasaskan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 bila kita mencapai kebebasan daripada campur tangan British yang kemudiannya disertai Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia pada 1963, jelas Wan Ahmad.

    Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan memeriksa Anggota Kawalan Kehormat dari Rejimen Askar Melayu Diraja sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara. – Bernama
    Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan memeriksa Anggota Kawalan Kehormat dari Rejimen Askar Melayu Diraja sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara. – Bernama
    Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan melafazkan Warkah Ikrar pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara. – Bernama
    Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan melafazkan Warkah Ikrar pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara. – Bernama

    Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat pulang selepas istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara. – Bernama

    Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat pulang selepas istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara. – Bernama

    Anggota Angkatan Tentera Darat dari Unit 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) melakukan tembakan meriam kehormat sebanyak 21 das sempena Istiadat Pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara. – Bernama
    Anggota Angkatan Tentera Darat dari Unit 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) melakukan tembakan meriam kehormat sebanyak 21 das sempena Istiadat Pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara. – Bernama

    Ketahanan sistem beraja

    Sementara itu, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, Pengarah Institut Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti Universiti Malaysia Perlis menyentuh sejarah kerjasama antara raja-raja Melayu yang telah berlaku sejak lebih 100 tahun lamanya.

    Kita lihat Majlis Mesyuarat Raja-Raja sejak Mesyuarat Durbar pada 1897 sudah bersidang sebanyak 244 kali. Maknanya dari sistem pentadbiran, institusi raja-raja dan Majlis Raja-Raja sudah jelas nampak ketahanannya. Sistem Parlimen kita sendiri hanya berusia 60 tahun.

    Ini membuktikan ia boleh terima cabaran semasa, boleh hidup dalam keadaan sejak pemerintahan cara tradisional, kemudian dengan kedatangan British, Jepun, sewaktu kita merdeka dan sehingga wujudnya Malaysia hari ini, kata beliau.

    Beliau turut berpendapat sistem pemerintahan beraja di negara ini memainkan peranan penting dalam mengimbangi sistem pemerintahan demokrasi kerana raja-raja sangat berkecuali dalam segala hal terutama hal politik, ekonomi dan dasar negara. Kalau dalam politik semuanya berpecah-pecah tetapi kalau kita sebut tentang institusi raja, kita tak ada sebab nak berpecah sebab ia tidak menyebelahi mana-mana pihak dan ia tidak ada parti politik, tegasnya.

    Sejak 60 tahun, Malaysia terbukti dapat mengadunkan sistem tradisional sejak Kesultanan Melaka sebelum kedatangan barat dan sekarang digabungkan bersama pentadbiran moden dengan kewujudan Perdana Menteri, sistem parti politik dan proses pilihan raya.

    Bagi Ramlah, institusi YDP Agong ini melambangkan kehebatan sistem pemerintahan tradisional raja-raja yang masih dapat digunakan dan sangat relevan dalam pemerintahan hari ini.

    “Pada saya sistem penggiliran ini bagus. Ia telah dijalankan dengan baik. Kita tak ada isu seperti sultan tak mahu turun takhta dan sebagainya. Selepas lima tahun mereka akan turun takhta dan balik ke negeri masing-masing.

    Ini berlaku sejak 1957 sampai sekarang, iaitu daripada kurun ke-20 hingga kurun ke-21. Semua sultan maklum ini adalah sistem yang memberi mereka peluang untuk menjadi YDP Agong mengikut giliran. Setiap sultan di Malaysia mempunyai peluang,” ulas beliau.

    Satu-satunya di dunia

    Mungkin ada yang tidak sedar bahawa sistem penggiliran pemerintahan YDP Agong adalah satu-satunya yang seumpamanya di dunia bagi pemerintahan sesebuah negara. Menurut Ramlah, tidak ada negara yang menjalankan sistem penggiliran raja-raja seperti yang dilakukan di negara ini.

    Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai sembilan raja dari sembilan negeri berbeza bertolak ansur memerintah mengikut giliran. Beliau mengambil contoh Sepanyol, Jordan dan Arab Saudi yang diperintah oleh hanya satu keluarga diraja.

    Hal ini dipersetujui Wan Ahmad yang berkata keunikan sistem inilah yang membolehkan kedaulatan negara dipelihara dengan baik. Sistem penggiliran di negara kita ini memang unik.

    Sebab ia bergilir antara sembilan orang raja. Kalau di Emirah Arab Bersatu (UAE) pembahagian kuasa antara raja-raja adalah berdasarkan jawatan yang diberikan kepada setiap mereka, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda