Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Sistem pendaftaran haji yang sebelum ini dilakukan secara manual telahpun dinaiktaraf pengurusan pendaftaran melalui pelaksanaan sistem pendaftaran haji secara dalam talian yang pada masa ini dalam proses pembangunan dalam fasa akhir.
Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim selaku tetamu kehormat dalam ucapan penutup Muzakarah Haji kali ke-32, Tahun 2025 di Dewan Multaqa, bangunan tambahan kementerian berkenaan, hari ini, turut menyambut baik usaha jabatan berkenaan.
Haji Mohammad Rosli menjelaskan bahawa sistem tersebut dalam proses pembangunan fasa akhir yang memerlukan penelitian rapi dan kerjasama dengan pihak berkepentingan agar sistem yang direka bentuk dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Di samping itu, sistem itu juga dihasrat untuk mempercepatkan dan mempermudahkan proses pendaftaran, serta menjadikannya lebih efisien, teratur, dan mesra pengguna.
Langkah tersebut seiring dengan perkembangan pesat teknologi digital yang semakin mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan kita.
Dengan adanya sistem itu, beliau turut berharap ianya dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memberikan kemudahan yang lebih baik kepada para jemaah haji, sekali gus memperkukuhkan pengurusan haji di negara ini.
Beliau menekankan peranan guru-guru pengkursus dan pembimbing ibadat haji amat penting.
“Mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu tentang manasik haji, tetapi juga mempersiapkan bakal jemaah haji dengan maklumat, pengalaman, dan panduan praktikal bagi memastikan mereka dapat melaksanakan ibadat dengan teratur dan sempurna di Tanah Suci nanti,” katanya.
Ibadat haji menuntut pengorbanan besar sama ada dari segi kewangan, masa, mahupun tenaga, jelasnya, dan adalah penting bagi bakal jemaah haji untuk memiliki ilmu dan pemahaman yang mendalam tentang manasik haji agar dapat melaksanakannya dengan sempurna dan teratur.
Setiausaha Tetap di KHEU menambah, muzakarah berkenaan terus menjadi menjadi platform yang berkesan dalam mengongsikan ilmu manasik haji, hikmah dan kelebihannya.
Di samping itu, ia juga berperanan memastikan keseragaman dalam penyampaian hukum-hakam berkaitan haji, umrah dan ziarah kepada para bakal jemaah haji.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa Jabatan Urusan Haji (JUH) akan terus memperkukuhkan usaha dalam menyebarluaskan ilmu manasik haji serta memperjelaskan isu-isu semasa yang berkaitan dengan hukum-hakam ibadat haji.
Jabatan ini juga telah menunjukkan komitmen yang amat tinggi dalam memperjelaskan pengurusan haji Negara Brunei Darussalam serta segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan merancang program-program yang berkesan serta penuh manfaat,” jelasnya.
Komitmen itu dapat dilihat melalui penganjuran perjumpaan bersama penyelia dan guru-guru pengkursus ibadat haji dan umrah, kursus ibadat haji dan umrah, serta Program Ke Arah Warga Perkhidmatan Awam Yang Arif Tentang Tuntutan Rukun Islam Kelima, yang mana ianya merupakan inisiatif baharu yang dilaksanakan untuk warga perkhidmatan awam.
Program-program tersebut mencerminkan kesungguhan JUH dalam memperkasakan penyampaian ilmu dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Usaha-usaha itu tidak hanya memberi impak yang besar kepada guru-guru pengkursus, jemaah haji dan umrah, pegawai-pegawai, serta mahasiswa-mahasiswi institut pengajian tinggi, tetapi juga kepada masyarakat umum secara keseluruhannya.
Dengan segala pencapaian tersebut, JUH telah terbukti sebagai peneraju utama yang berjaya dalam membentuk guru pengkursus haji yang kompeten, cekap, dan berpengetahuan luas, sambil memanfaatkan pendekatan yang lebih holistik dan berkesan dalam penyampaian ilmu.
Beliau seterusnya berharap, peserta muzakarah dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk memperkukuhkan dan memperdalam pemahaman mengenai ibadat haji dan umrah.
Di samping itu juga dapat menyebarkan ilmu dan maklumat kepada pelajar, bakal jemaah haji, dan masyarakat umum sesuai dengan peranan masing-masing.
“Selain itu, peserta juga dapat menjadi pelapis guru-guru pengkursus ibadat haji dan umrah pada masa akan datang,” tambahnya.