Sistem pendapatan persaraan M’sia di kedudukan ketiga Asia

KUALA LUMPUR, 20 OKT – Sistem pendapatan persaraan Malaysia berada di kedudukan ketiga di Asia dan ke-19 secara keseluruhan oleh Indeks Persaraan Global Mercer CFA Institute tahunan ke-12, kajian mengenai 39 sistem pendapatan persaraan di seluruh dunia yang meliputi hampir dua pertiga daripada populasi dunia.

Bagaimanapun, nilai indeks keseluruhan Malaysia susut sedikit daripada 60.6 pada 2019 kepada 60.1 pada 2020 berikutan beberapa pergerakan kecil dalam sub-indeks kemampanan, menurut Mercer, anak syarikat milik penuh Marsh & McLennan Companies dalam kenyataan hari ini.

“Daripada tiga sub-indeks kajian, Malaysia mencatatkan skor tertinggi bagi integriti (78), diikuti kemampanan (58.6) dan kecukupan (50.1). Purata global sebanyak 71.3 untuk integriti, kemampanan (50) dan kecukupan (60.8),” katanya.

Indeks Persaraan Global 2020, yang mengukur setiap sistem persaraan melalui tiga sub-indeks, iaitu kemampanan, kecukupan dan integriti, turut termasuk dua sistem baharu – Belgium dan Israel. – Bernama