Thursday, May 8, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sistem pendidikan perlu selari transformasi digital

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – COVID-19 telah mempengaruhi cara orang berinteraksi dan bekerja manakala itu, kerajaan dan perniagaan telah menyesuaikan diri untuk bekerja dari jarak jauh dan mengintegrasikan teknologi untuk membolehkan mereka menjalankan operasi mereka dari alam maya.

    Ini turut sama berlaku dalam sektor pendidikan kerana banyak negara telah menutup sekolah dan menerapkan pembelajaran digital bagi mengekang penyebaran koronavirus.

    Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohamad Salleh menambah, pandemik ini juga telah memperlihatkan perlunya melengkapkan sekolah dengan infrastruktur dan teknologi di samping memberi guru dan pelajar kemahiran yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan suasana digital.

    Sistem pendidikan telah memikirkan semula dan mempercepatkan rancangan untuk transformasi digital, ujar beliau lagi semasa menyampaikan ucapan perasmian program Huawei Technologies, Seeds For The Future 2020 yang berlangsung di Bangunan Tambahan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

    Dalam ucapannya itu, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah juga mengucapkan terima kasih kepada Huawei Technologies kerana membawakan program Seeds For The Future sepenuhnya dalam talian.

    Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah semasa menyampaikan ucapan perasmian program Huawei Technologies, Seeds For The Future 2020.

    “Ini tepat pada masanya, kerana ia dapat meningkatkan fleksibiliti dalam penyampaian, waktu untuk menjalankan program dan jangkauan kepada lebih banyak peserta tanpa menjejaskan objektif yang diharapkan.”

    Selain untuk mempromosikan pendidikan dan pengembangan bakat tempatan dalam bidang ICT, kursus dalam talian program Seeds For The Future juga akan mendedahkan pelajar kepada trend industri terkini dalam 5G, pengkomputeran cloud, kecerdasan buatan (AI) dan internet of things (IOT), jelasnya.

    Beliau menambah, pelajar juga akan melihat aplikasi tersebut melalui telefon pintar, keselamatan siber, perdagangan digital dan digital ekonomi selain ada penglibatan siaran langsung dengan syarikat terkenal, pendapat pemimpin utama dan kumpulan pemikir di China selain pendedahan ini juga sangat berharga dan penting untuk memastikan pelajar sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam industri ICT yang sentiasa berubah.

    Pendedahan seperti ini sangat berharga dan penting untuk memastikan pelajar sentiasa mengikut perkembangan terkini dalam industri ICT yang sentiasa berubah.

    Beliau seterusnya berkongsi mengenai usaha yang diambil oleh Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan upayanya untuk menyediakan pembelajaran digital seperti memperkukuhkan hubungan, meningkatkan infrastruktur rangkaian sekolah dan lain-lain.

    Paling penting bagi keberhasilan usaha berkenaan, tekan beliau, adalah rakan kongsi yang berterusan dengan berbagai-bagai pihak berkepentingan dalam teknologi, khususnya Huawei Technologies yang berada di barisan depan industri ICT, untuk menambah nilai inisiatif kementerian.

    “Sembilan program seperti Seeds For The Future bukan hanya untuk memacu minat pelajar, tapi juga dalam memastikan kumpulan bakat ICT yang mapan untuk negara,” tambahnya.
    Sehubungan itu, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah menyeru para siswa untuk memanfaatkan peluang yang ditawarkan dalam program berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda