Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Orang ramai diseru untuk membudayakan keselamatan dan kesihatan di dalam sesebuah organisasi di mana ia bukan semata-mata mempunyai dokumentasi dan dasar.
Organisasi dalam semua bidang kerja, sektor awam dan swasta, mesti terus memikirkan keberkesanan sistem pengurusan keselamatan organisasi dan komitmen mereka untuk memberikan keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan.
Seruan dan penekanan berkenaan dibuat oleh Pengarah Bahagian Keselamatan Proses, Haji Ya’akub bin Haji Yusof selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Interim SHENA dalam ucapannya pada Majlis Penutup bagi Bulan Keselamatan SHENA bersempena Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia 2023 yang berlangsung di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, hari ini.
Pada majlis itu, Haji Ya’akub telah menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada para peserta pameran dan penyampai ceramah semasa Jerayawara Bulan Keselamatan SHENA 2023 yang diadakan di keempat-empat daerah.
Haji Ya’akub turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan Video Pendek SHENA di mana tempat pertama dimenangi oleh Jonatan Muli anak Philip, tempat kedua dimenangi oleh Awang Muhammad Haziq Iman bin Salmi Jan dan tempat ketiga dimenangi oleh Dayang Nur Thaqifah binti Mohammad Suffri.
Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia diadakan pada setiap 28 April di mana ia menyediakan platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan kemalangan dan memupuk budaya amalan terbaik yang mengutamakan pematuhan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Dalam usaha gigih untuk melibatkan orang ramai dan pihak yang berkepentingan industri, Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), menganjurkan siri acara menarik di keempat-empat daerah di negara ini.
Acara-acara dinamik berkenaan merangkumi jerayawara dengan pameran, siri ceramah yang memberikan pencerahan dan permainan interaktif.
Matlamat utama acara diadakan adalah untuk memupuk kesedaran dan menggalakkan tindakan kolektif dalam meningkatkan piawaian persekitaran kerja yang selamat dan sihat iaitu selaras dengan tema Hari Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia 2023 iaitu Persekitaran Kerja yang Selamat dan Sihat adalah Prinsip dan Hak Asas di Tempat
Kerja.
SHENA tetap teguh dalam komitmennya untuk memberi keutamaan kepada kesejahteraan pekerja dan memupuk budaya kelestarian keselamatan dan kesihatan di semua sektor.
Menerusi dedikasi yang tidak berbelah bahagi, SHENA bermatlamat untuk menghapuskan kematian berkaitan kerja dan membuka jalan bagi masa depan di mana setiap individu dapat bekerja dalam persekitaran yang selamat dan terjamin.
Dengan kerjasama pihak yang berkepentingan industri, agensi kerajaan dan masyarakat, SHENA dapat bersama-sama memastikan Negara Brunei Darussalam adalah tempat yang selamat untuk didiami dan bekerja.