KUALA LUMPUR, 29 SEPT – Sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal sebanyak RM133.3 bilion pada Ogos 2023, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam kenyataan Sorotan Bulanan Ogos 2023 hari ini, bank pusat berkata sistem perbankan Malaysia terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan tekanan dan menyokong pertumbuhan pengantaraan kredit dalam ekonomi.
BNM berkata, daya tahan sistem perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang mantap dengan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan sebahagian besarnya kekal tidak berubah, masing-masing pada 1.8 peratus dan 1.1 peratus.
“Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal pada tahap berhemat sebanyak 115.0 peratus daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.6 peratus daripada jumlah pinjaman,” katanya. – Bernama