SYDNEY, 9 APRIL – Sistem radio yang rosak merupakan antara beberapa faktor yang menyumbang kepada nahas maut membabitkan dua helikopter di utara Australia pada 2023, menurut siasatan rasmi yang didedahkan hari ini, lapor Xinhua.
Empat orang terbunuh manakala sembilan lagi cedera apabila dua helikopter pelancongan itu bertembung di udara di Gold Coast, negeri Queensland, Australia pada 2 Januari 2023.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) hari ini mengeluarkan laporan akhir setebal 200 muka surat mengenai kejadian itu selepas menjalankan siasatan selama dua tahun, dengan menyorot beberapa isu keselamatan yang menyumbang kepada nahas tersebut.
Kejadian berlaku apabila sebuah helikopter yang dikendalikan Ash Jenkinson sedang berlepas, manakala sebuah lagi helikopter yang dipandu Michael James sedang bersiap untuk mendarat. Kedua-dua helikopter jenis Eurocopter EC130 itu dikendalikan oleh taman tema Sea World di Gold Coast.
ATSB mendapati sistem radio dalam helikopter yang dinaiki Jenkinson yang mengorbankan dirinya dan tiga penumpang mengalami kecacatan yang mengehadkan jarak transmisi dan menjejaskan kebolehpercayaan komunikasi.
Penyiasat ATSB merusmuskan Jenkinson mungkin telah membuat panggilan radio untuk memberitahu James mengenai pelepasannya, namun panggilan itu gagal diterima akibat kerosakan sistem.
“Tanpa penerimaan panggilan itu, juruterbang helikopter yang sedang menghampiri lokasi pendaratan yang mungkin sedang memberi tumpuan kepada tapak pendaratannya tidak menyedari risiko perlanggaran,” kata Ketua Pesuruhjaya ATSB, Angus Mitchell dalam satu kenyataan.
ATSB turut mendapati kegagalan komunikasi radio, keterbatasan jarak penglihatan daripada kedua-dua helikopter serta ‘keutamaan bersaing’ juruterbang menyumbang kepada nahas itu. – Bernama
