Siswazah wanita reka produk aksesori motosikal jenama Itali

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Seorang siswazah Universiti Putra Malaysia diberi penghormatan oleh syarikat pembuat aksesori motosikal terkemuka dari Itali, GIVI, untuk mereka bentuk beberapa produknya agar sesuai dengan keperluan pasaran tempatan.

Rozaida Ahmad Zaki, 31, yang mengambil jurusan Reka Bentuk Industri berkata produk terbaru yang direka beliau ialah kotak penyimpanan barang bersaiz kecil B32 Bold berkapasiti 32 liter sesuai untuk motosikal berkapasiti rendah 250cc ke bawah.

“Rekaan ini ringkas namun ia amat sesuai untuk keperluan pengguna tempatan khasnya kepada pengguna yang menggunakan motosikal berkuasa rendah untuk kegunaan harian mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rozaida yang juga pereka utama bagi Givi Asia berkata, beliau turut mereka bentuk beberapa komponen helmet, pelekat topi keledar, beg sisi dan sut baju hujan.

Menurutnya semua reka bentuk yang dihasilkan adalah bersesuaian dengan cuaca serta cara penggunaan motosikal oleh rakyat di negara ini.

Rekaan kotak penyimpanan barang itu menginspirasikan gaya terbaru di dalam pembuatan produk menggunakan bahan polipropilena (PP)’ sebagai bahan komponen utama sesuai dengan keadaan cuaca di Malaysia. – Bernama