Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Persatuan Siswazah Wanita (PSW) Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama ahlinya dan keluarga serta sahabat ahlinya di kediaman Yang Di-Pertua Persatuan berkenaan, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaludin di Kampung Mata-Mata hari ini.
Majlis Mesra Raya Aidilfitri itu dimulai dengan bacaan Doa Kesyukuran dan beberapa aktiviti diatur bagi memeriahkan lagi suasana sambutan berkenaan.
Majlis seumpama ini akan diadakan secara tahunan demi memupuk dan mengeratkan tali silaturahim antara ahli dan keluarga ahli persatuan serta meraih kemanfaatan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda di bulan yang penuh rahmat ini.
Sementara itu, Pengiran Hajah Zabaidah ketika ditemui di majlis itu berkongsi mengenai aktiviti yang akan dilaksanakan oleh persatuan berkenaan yang antaranya persidangan mengenai keluarga yang dijangka akan diadakan pada Disember ini nanti.
