Biduanita Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menunggu masa sesuai berkunjung ke Sekolah Afwa Al-Afiyah di Gaza yang dibuka bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, menerusi Yayasan Nurjiwa.
Biarpun perjanjian gencatan senjata sudah diumumkan Israel, kelmarin, Siti berkata, mereka perlu menunggu sehingga keadaan benar-benar terkawal atas nasihat suami.
Siti berkata, buat masa ini, dia hanya berhubung dengan perantara yang bertugas di sekolah, iaitu Dr Mohanad untuk mendapatkan info terkini mengenai keadaan di Gaza.
“Memang saya ada hajat menyantuni guru dan pelajar sekolah di Gaza.
“Selama ini, saya hanya berhubung dengan Dr Mohanad yang membantu menguruskan hal ehwal lebih 100 murid dan lapan guru.
“Saya ada bertanya kepada suami sama ada boleh ke Gaza selepas gencatan senjata diumumkan. Tapi, suami nasihat belum boleh lagi dan perlu hati-hati kerana apa sahaja boleh berlaku.
“Apapun, saya akan terus berdoa untuk keselamatan mereka di sana. Saya memang ada perancangan ke Gaza jika keadaan aman,” katanya yang ditemui pada majlis menandatangani perjanjian bersama anak saudaranya, Ummi Umairah sebagai artis di bawah syarikat miliknya, SN Legacy Sdn Bhd di ibu negara itu, semalam.
Pada masa sama, Siti menjelaskan, Sekolah Afwa Al-Afiyah mendapat bantuan ramai sukarelawan untuk proses pemindahan ketika tempoh genting.
“Sekolah ini juga mempunyai beberapa sukarelawan yang banyak membantu melancarkan urusan sepanjang tempoh peperangan ini. Mereka terpaksa berpindah beberapa kali ke lokasi lebih selamat.
“Terkini, saya dimaklumkan warga sekolah Afwa Al-Aafiyah semuanya selamat berada di Khan Yunis. Kita sama-sama doakan pergolakan di bumi Gaza dapat dihentikan menerusi gencatan senjata yang ditunggu-tunggu,” katanya kepada BH Online.
Mengenai perancangan membangunkan semula sekolah selepas terkesan peperangan, Siti berkata, usaha itu akan diteruskan selepas keadaan kembali terkawal.
Ujar Siti, buat masa ini, pihak yayasan sedang memfokuskan kepada bantuan musim sejuk.
“Yayasan Nurjiwa masih lagi meneruskan bantuan kepada penghuni sekolah termasuk keperluan pakaian musim sejuk dan makanan seperti biasa,” tambahnya. – Agensi