Gara-gara single Aku Cinta Padamu tular di TikTok, Datuk Seri Siti Nurhaliza menggamatkan Stadium Merdeka apabila mendendangkan lagu itu pada Konsert The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza di lokasi ikonik itu, baru-baru ini.
Apa yang menarik, Siti menyampaikan lagu itu dalam versi dangdut sama seperti yang tular di platform berkenaan.
“Saya pelik juga kenapa lagu lama saya kembali tular di TikTok. Terbaharu, lagu Aku Cinta Padamu versi dangdut yang sering ‘FYP’.
“Buat mereka yang julung kali datang ke konsert saya, saya hendak belanja lagu Aku Cinta Padamu versi dangdut,” katanya disambut tepukan gemuruh lebih 24,000 peminat di stadium ikonik itu.
Biarpun tidak menyanyikan lagu ciptaan LY dan Baiduri itu secara penuh, namun, lenggok dangdut Siti yang baru-baru ini meraih gelaran Biduanita Negara membuatkan penonton bersorak kegembiraan, lapor BH Online.
Pada konsert yang dibawa Universe Gateway itu, Siti bersama Judika memukau penonton dengan lebih 30 lagu yang disampaikan secara duet dan solo.
Sementara itu, bagi Judika, konsert serumpun itu ibarat bulan jatuh ke riba.
“Saya minat Siti sejak dahulu lagi dan beliau banyak memberi inspirasi. Saya amat terharu apabila kembali menjayakan konsert di Malaysia dan berkongsi pentas dengan Siti,” katanya.
Terdahulu, Siti dan Judika diarak masuk ke Stadium Merdeka menaiki kereta ‘sport’.
Penyanyi Faizal Tahir diberi penghormatan membuka gelanggang dengan menyampaikan tiga lagu popular iaitu Mahakarya Cinta, Sampai Syurga dan Santai.
Penonton turut dihiburkan dengan pertunjukan bunga api selama kira-kira 10 minit serta pancaran cahaya dari Menara Merdeka 118. – Agensi