Datuk Seri Siti Nurhaliza risau selepas dijangkiti COVID-19 buat kali kedua, baru-baru ini.
Biarpun sudah pulih, Siti gusar berikutan suaranya pernah terjejas akibat dijangkiti virus itu, buat kali pertama, tahun lalu.
“Saya kena COVID-19 baru-baru ini dan baru selesai kuarantin. Alhamdulillah, tidak ada apa-apa.
“Ketika mula dijangkiti, saya cepat-cepat makan vitamin C dan ambil antibiotik. Saya cuma kuarantin tiga hari.
“Bohonglah kalau saya kata tidak risau, sebab suara saya digunakan sebagai aset. Memang batuk berkahak adalah sesuatu yang sangat mengganggu.
“Harap-harap apa yang berlaku ini tidak mengganggu peti suara saya,” katanya kepada BH Online.
Berkongsi lanjut keadaannya dijangkiti COVID-19 buat kali kedua, Siti berkata jangkitan kali ini benar-benar mencabar dan menyakitkan berbanding kali pertama.
“Berbeza dengan jangkitan COVID-19 kali pertama di mana tidak ada demam dan tidak sakit badan, kali ini, saya alami sakit badan yang melampau, demam dan panas-panas.
“Apapun, saya bersyukur sebab sudah makin baik. Apabila saya nyanyikan lagu-lagu lama, bunyi suara saya ada rasa ‘ringan’ sedikit.
“Kalau tidak, suara rasa ‘berat’, kasar dan tidak cukup nafas. Jadi, ini proses yang sangat lama dan hampir setahun untuk saya kembali dapatkan suara ‘ringan’ seperti ini,” katanya ditemui pada majlis ukhuwah dan apresiasi serta pelancaran kempen Jihad Yayasan Nurjiwa di ibu negara.
Siti pernah dijangkiti COVID-19 pada pada 2022 hingga menyebabkan masalah pada peti suara dan mengambil masa hampir setahun untuk pulih. – Agensi