Biduanita Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa kecewa apabila wajah dan suaranya disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab serta dieksploitasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk tujuan kandungan pengiklanan bersifat penipuan.
Siti berkata, dia kini sedang meneliti kewujudan kandungan itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.
“Saya ingin menegaskan tidak pernah terbabit, memberikan kebenaran atau menyokong sebarang penggunaan suara, imej atau video dalam sebarang bentuk iklan, produk atau kandungan bersifat penipuan, ‘scam’ atau tidak sah.
“Saya kecewa apabila ada pihak yang menyalahgunakan teknologi seperti AI meniru suara dan wajah saya tanpa izin, lebih lagi, digunakan untuk memperdaya orang ramai.
“Saya percaya pada etika, kejujuran dan tanggungjawab dalam menggunakan teknologi.
Saya menyeru kepada semua agar berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan sentiasa merujuk sumber sahih.
“Saya sedang meneliti perkara ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya penyalahgunaan berterusan,” katanya kepada Harian Metro.
Siti memohon peminat dan pengikut dalam media sosial tidak mudah terpedaya dan melaporkan kandungan sebegitu. – Agensi


