Pelakon Siti Khadijah menitip pesan kepada aktor Aniq Suhair yang kini sedang menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah agar mendoakan dia bertemu jodoh, kongsi mStar.
Siti atau Siti Khadijah Halim, 27, berkata dia berharap dipertemukan dengan seorang lelaki yang baik dan sesuai dengannya.
“Aniq doakan aku jumpa jodoh yang sesuai dengan aku. Amin,” katanya.
Siti berkongsi perkara itu menerusi komen hantaran yang dimuat naik Aniq di Instagram miliknya.
Menerusi perkongsian berkenaan, Aniq atau Aniq Suhair Mohd Salleh, 24, berkata dia menerima banyak kiriman doa daripada pengikutnya di media sosial.
Kata Aniq, ada sebahagian doa yang sempat ditunaikan untuk dibaca dan aktor ini turut mendoakan peminatnya dikurniakan rezeki ke Tanah Suci.
“Ramai kirim doa di ruangan komen menerusi hantaran IG saya sebelum ini. Ada yang sempat saya baca dan aminkan dan mana yang terlepas pandang saya minta maaf.
“Saya mendoakan semua yang membaca ini dapat pergi ke Tanah Suci dengan izin Allah insya-Allah… Saya juga ingin berterima kasih kepada semua mendoakan saya sebelum ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, kunjungan Aniq ke Tanah Suci turut mendapat perhatian warganet apabila menyifatkan pelakon drama Cinta Bersemi di Wadi Safiyyah itu seorang yang beruntung kerana kerap berpeluang menunaikan ibadah umrah.
“Untung sangat insan bernama Aniq Suhair ini. Dapat pergi umrah banyak kali. Bestnya,” tulis warganet. – Agensi