Pelakon Siti Khadijah memberitahu pengalaman menjadi mangsa buli pada awal kemunculan dalam industri seni sedikit sebanyak mendewasakan dirinya sebagai pelakon.
Cerita Siti atau Siti Khadijah Halim, 27, ketika itu dia pernah terfikir untuk berhenti daripada dunia hiburan akibat tidak tahan dengan layanan buruk yang diterima.
“Saya pernah lalui pengalaman yang tak seronok, pelakon baharu selalu kena marah serta maki dengan pihak produksi.
“Sampai satu tahap ada rasa nak berhenti, awal-awal masuk industri saya benci betul jadi pelakon.
“Saya tak salahkan sepenuhnya kepada orang yang buli saya, mungkin ada salah saya juga. Tetapi tindakan mereka itu agak melampau,” katanya kepada mStar.
Enggan menormalisasikan budaya tersebut, Siti tekad mahu mengubah pemikiran penggiat seni yang menganggap pendatang baharu sebagai tempat mereka melempiaskan kemarahan.
Malah, dia kini semakin berani untuk menyuarakan perkara itu secara terbuka agar tiada lagi pelakon junior yang menjadi mangsa.
“Saya akui semua itu normal tapi saya tak rasa ia patut dinormalisasikan. Nak nasihat boleh tapi jangan biadap, tak perlu malukan dia depan orang ramai,” jelasnya. – Agensi
