Serasi bersama Alvin Chong, Siti Khadijah menjelaskan hubungan mereka tidak lebih sebagai seorang rakan dalam industri.
Selesa bersahabat, Siti atau Siti Khadijah Halim, 27, menyifatkan sikap Alvin berbeza daripada pelakon lelaki lain yang pernah bekerjasama dengannya.
“Saya dan Alvin hanya berkawan baik dan hubungan kami sangat profesional tetapi dia buktikan dekat saya yang masih ada lagi lelaki baik dalam industri.
“Dia seorang yang menghormati wanita, berdisiplin dan komited,” katanya kepada mStar.
Siti berkata demikian susulan timbul dakwaan kononnya dia sedang menjalinkan hubungan istimewa bersama Alvin selepas dilihat rajin memuat naik video TikTok bersama.
Dalam pada itu, Siti mendedahkan dia kurang bernasib baik kerana sering dipertemukan dengan pasangan hero yang suka mengambil kesempatan.
Jelasnya, pengalaman itu yang membuatkan dia kurang selesa untuk mengekalkan hubungan rapat dengan mana-mana lelaki.
“Saya susah nak jumpa pasangan hero yang serasi dengan saya sebab kebanyakan mereka mahukan hubungan yang lebih dari urusan kerja.
“Saya pula orangnya tak mahu hubungan yang serius. Sebab itu saya selesa berkawan dengan Alvin,” jelasnya. – Agensi
