Saturday, February 8, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siti Nordiana belum jumpa pengganti

    Soalan berkaitan jodoh sering kali diajukan kepada penyanyi Siti Nordiana selepas hampir 15 tahun bergelar seorang ibu tunggal.

    Malah, statusnya juga menjadi tanda tanya apabila dilihat mengenakan busana pengantin ketika mempromosikan konsert solonya yang bakal berlangsung pada 11 Mei depan.

    Bagi Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, 40, dia sudah lali menjawab soalan berkaitan jodoh malah jawapannya juga tetap sama iaitu belum bertemu pasangan sesuai.

    “Saya tak kisah orang asyik bertanya perkara sama. Jawapan saya tetap sama iaitu belum ada.

    “Namun kita tidak tahu soal jodoh. Mungkin atas berkat doa peminat saya akan bertemu seseorang tahun hadapan. Cuma buat masa sekarang saya ‘berkahwin’ dengan kerjaya,” katanya kepada mStar.

    Nana tidak menolak jika kembali bertemu jodoh. – mStar

    Nana berkongsi perkara itu ketika majlis sidang media konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun yang diadakan baru-baru ini.

    Penganjuran konsert tersebut memberi makna besar buat Nana kerana ia adalah persembahan berskala besar pertama sepanjang 25 tahun penglibatan dalam dunia seni.

    Justeru dia menganggap pemilihan tema perkahwinan bersesuaian sebagai simbolik cinta terhadap peminat.

    “Sudah lama saya impikan hasrat untuk mengadakan konsert solo berskala besar. Selama ini ada perancangan cuma tidak menjadi atas beberapa faktor. Syukur tahun ini ia menjadi kenyataan.

    “Konsert ini terlalu istimewa kerana akan menjadi ‘pelamin’ khas untuk saya raikan kerjaya bersama peminat yang sentiasa memberi sokongan.

    “Sebab itu kami pilih tema perkahwinan kerana ia bakal menjadi hadiah buat peminat,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda