Lima sekawan iaitu Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya, Nur Sheila Hassim, 36, Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42, yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman RM2.5 juta oleh penyanyi Siti Nordiana masih tidak diwakili peguam.
Peguam dilantik Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin dalam kenyataan dikeluarkan berkata, semasa pengurusan kes yang dijalankan secara eReview kelmarin, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan pihaknya selaku peguam plaintif iaitu Siti Nordiana untuk memfailkan afidavit penyampaian sebagai bukti serahan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap kelima-lima defendan itu.
“Bagaimanapun, kelima-lima defen-dan terbabit masih tidak diwakili oleh peguam serta tiada kehadiran dan pernyataan pembelaan yang difailkan oleh defendan-defendan setelah writ saman dan pernyataan tuntutan diserahkan kepada kesemua defendan.
“Sehubungan itu, tarikh akhir untuk kelima-lima defendan memfailkan kehadiran dan pernyataan pembelaan adalah pada 17 Ogos ini,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana, 37, memfailkan saman ke atas lima individu itu atas dakwaan memfitnahnya di platform media sosial menerusi sesi siaran langsung di Instagram.
Nana memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen di sini, dan menamakan Lan Solo, isterinya, Nur Sheila Hassim, Zuraidah Badron, Sam Musyadzafar Samin dan Razidah Ahmad Senusi sebagai defendan.
Menerusi pernyataan tuntutan, Nana mendakwa pada 20 Julai lalu kira-kira 11:58 malam, melalui siaran langsung yang dikendalikan oleh Nur Sheila dan disertai empat defendan lain menerusi akaun Instagram masing-masing telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya. – Agensi
